Hari ini sudah tamat hari kedua Perjumpaan Hari Keluarga untuk seluruh anak, cucu, cicit, piut dan seterusnya daripada susur galur moyang saya Hj Omar Mardhan. Hari pertama banyak dihabiskan untuk beramah-mesra, kenal-mengenali sanak-saudara yang jauh dan yang dekat. Hari kedua pula dipenuhi aktiviti bermanfaat untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara keluarga yang hadir.

Aktiviti dimulakan dengan kuliah subuh sebelum disajikan dengan nasi lemak spesial. Memang lemak dan gebu nasinya. Sambal tumisnya sangat nikmat dan serasi dengan rasa nasi lemak.

Selepas bersarapan, acara sukaneka bermula. Semua boleh menyertainya. Dari kanak-kanak, lelaki, wanita, warga tua, kaum bapa dan ibu semuanya ada aktiviti yang sesuai dengan mereka. Di panas terik matahari tengah hari, sessi fotografi diadakan maka dapat la gambar yang di atas sekali tu. Terlalu kecil sampai saya pun susah nak tengok muka saya sendiri. Terlalu ramai ahli keluarga saya kini. Sungguh meriah.

Makan tengah hari pula sungguh menyelerakan. Walaupun masih kenyang dengan nasi lemak sarapan, kami semua bedal juga kerana lauk-lauk kampung memang menjadi kegemaran. Ada sambal ikan, pucuk ubi, labu dan kacang panjang tak termasuk aksesori-aksesori kecil yang lain.

Sukaneka bersambung selepas zohor. Banyak aktiviti untuk kanak-kanak dan remaja kerana generasi inilah yang paling ramai dan merekalah yang menjadikan program ini lebih menggembirakan.

Saya juga menyertai pertandingan membuat ketupat dan suami pula dengan bowling kelapanya. Ada la juga hadiah kenangan untuk dibawa pulang.

Makan malam juga menyelerakan menyebabkan nasi sering tak cukup. Mungkin lain kali kena masak ikan masin sahaja, baru nasi banyak lebih. Menu malam, kari ayam, lodeh kering dan macam-macam lagi. Tak ada masa nak ceritakan semuanya. Aktiviti malam dipenuhi dengan program ceramah agama oleh Ustaz Abu Bakar dari Johor Bahru yang menceritakan kisah-kisah menarik dalam melahirkan generasi-generasi yang berjaya didunia dan akhirat.