Sering saya ingatkan kepada pembaca blog saya juga kepada pembeli-pembeli ebook Panduan dan Resepi Masakan Barat, bahawa anda boleh menjual produk anda dengan harga yang lebih baik sekiranya anda dapat meningkatkan tambah nilai produk. Seperti yang pernah saya katakan dulu, daripada menjual pisang lebih baik menjual kerepek pisang. Sekilogram pisang berharga lebih kurang RM2.50 sedangkan kerepek pisang berharga lebih dari RM8. Lebih tinggi harga jualan, lebih banyak keuntungan. Saya bukan suruh anda jual pisang pada harga RM8. Memang tak ada sesiapa yang sudi beli. Tolong bezakan dua keadaan ini. Menjual sesuatu produk dengan keuntungan yang berlebihan, adalah sesuatu yang sangat tidak elok. Elakkan jika anda ingin berniaga lama.


Gambar-gambar dalam entri ini adalah gambar nasi goreng yang saya pesan disebuah restoran yang boleh dikatakan popular di tempat saya. Saya memang jarang makan disini, dalam setahun mungkin sekali atau dua kali sahaja kerana saya tahu, harga makanan ditempat ini memang lebih mahal dari ditempat lain. Nasi goreng yang dimakan oleh anak saya berharga RM6 dan nasi goreng pataya itu pula berharga RM6.50. Pada harga ini, saya mengharapkan hidangan yang lebih baik tapi anda perhatikan rupa nasi goreng yang saya terima. Dari segi rasa pula, nasi goreng ini lebih hambar dari nasi goreng yang berharga RM3 di gerai yang selalu saya singgah. Disini saya senaraikan kemungkinan yang menyebabkan tauke restoran ini meningkatkan harga nasi goreng mereka sekali ganda dari harga nasi goreng di gerai lain. Pertama, wujudnya seekor udang yang kasar terselindung disebalik nasi dengan rasa yang tawar seolah-olah telah direbus lama. Kedua, isi ayam yang digunakan dalam nasi goreng ini bersaiz lebih besar sedangkan hakikatnya berat ayam yang digunakan juga sama malah ayam ini juga tawar sama seperti udang tadi. Ketiga, Secebis daun salad sebagai hiasan yang mungkin pada mereka sudah cukup menarik. Keempat, suasana dan prasarana restoran yang menarik dan indah serta memerlukan belanja yang besar untuk di hasilkan tetapi itu beberapa tahun dahulu sewaktu restoran ini dibuka. Hakikatnya segala-galanya sudah uzur dan tidak terurus lagi. Cukuplah tu. Saya tak sanggup nak komen banyak. Jika anda baca semua entri lama-lama, saya pernah komen sebuah restoran yang kononnya hebat. Beberapa bulan selepas komen saya dipaparkan, saya dapati restoran tu telahpun ditutup seperti ramalan saya. Saya harap kali ini tidak berlaku seperti ini lagi asalkan mereka sanggup berubah dan menghidangkan sesuatu yang lebih baik untuk pelanggan mereka.


Cuba anda hitungkan kos tambahan yang perlu dikeluarkan untuk meningkatkan tambah nilai nasi goreng ini seperti salad, udang, ayam dan sebagainya. Hitungkan juga berapa harga yang sepatutnya anda letak untuk nasi goreng ini. Adalah sesuatu yang bagus untuk menambahkan beberapa bahan yang ketara seperti ini. Ia akan menjadikan pelanggan lebih berselera. Bukankah bagus, nasi goreng yang berharga RM3 boleh meningkat menjadi RM6 dengan hanya menambah seekor udang, sehelai salad dan ayam dipotong kasar? Andapun boleh buat seperti itu. Karipap komersial RM1 untuk 3 ketul boleh jadi RM1 untuk 2 ketul dengan menambahkan cebisan ayam dalam intinya. Donut gebu tradisional berharga RM1 untuk 3 biji, boleh menjadi RM1 sebiji dengan menyalutinya dengan coklat. Inilah yang dinamakan tambah nilai produk. Bagaimanapun, seperti pesanan saya sebelum ini, tolong jangan mengambil keuntungan berlebihan.