Kadangkala risau pula bila banyak sangat bekas pelajar yang menghubungi saya semata-mata mengharapkan saya dapat membantu mereka dan memberi tunjuk ajar bagaimana untuk memohon melanjutkan pelajaran ke universiti dengan kata lain Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Kalau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tu banyak la iklan di surat khabar. Dalam kepala mereka cuma ingat nak masuk U, nak masuk U, nak masuk U sahaja. Bila suruh search google, takkan nak taip nak masuk U je kat seachbox. Akhirnya mereka sesat dialam maya. Bila dah jumpa saya, mula la bermacam-macam soalan pelik keluar sampaikan saya pun tak pernah terfikir akan diajukan soalan begitu. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membuat satu Panduan  Permohonan Kemasukkan ke IPTA untuk Lepasan SPM untuk sesi 2011/2012 ini. Barulah senang sikit saya menjawab nanti. Apa sahaja yang mereka tanya saya akan jawab sila lawati blog saya :)

Pertama sekali yang anda mesti tahu bahawa permohonan kemasukkan ke IPTA untuk Lepas SPM dibuat secara online menggunakan Aplikasi dalam Talian yang dibangunkan oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Kedua anda perlu tahu kategori permohonan anda dimana kategori permohonan terbahagi kepada 4 iaitu
  • Kategori A - Pemohon Lepasan SPM tahun 2010
  • Kategori B - Pemohon Lepasan SPM tahun 2009 atau 2008
  • Kategori C - Pemohon Lepasan SPM tahun 2007 atau sebelumnya atau sijil setaraf yang diiktiraf oleh IPTA
  • Kategori D - Pemohon menggunakan keputusan SPM 2008 dengan sijil ulangan SPM 2009 atau SPM 2008 dengan sijil ulangan SPM 2010 atau SPM 2009 dengan sijil ulangan SPM 2010.

Ketiga anda perlu mengenalpasti program pengajian yang bakal anda pilih seperti kursus/program dan universiti/institusi mana yang diingini, serta syarat-syarat khas kemasukkan sesuatu kursus itu. Untuk itu anda boleh semak link dibawah ini
Senarai kursus, program dan institusi yang ingin dipohon.

Institusi yang terlibat adalah seperti berikut
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Darul Iman Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Sabah, Universiti malaysia Pahang, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknoligi Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Unversiti Malaysia Sarawak, Universiti islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Dalam link diatas itu juga anda boleh mendapat beberapa maklumat penting mengenai universiti seperti sejarah, matlamat, visi, misi, kemudahan dan program-program yang ditawarkan untuk setiap fakulti yang terdapat di sana.

Keempat, setelah anda berfikir semasak-masaknya dan menyenaraikan kursus/program yang diingini, anda haruslah ke Bank Simpanan Nasional untuk membeli nombor unik ID permohonan anda. Harganya hanya RM15.00 tidak termasuk komisyen. Anda akan mendapat slip bank seperti dibawah. Nombor unik ID anda ada dalam bulatan berwarna merah yang saya buat tu.

Kelima, barulah anda boleh mula mengisi borang permohonan. Pastikan sijil-sijil dan segala maklumat yang diperlukan dah berada di depan mata supaya mudah mengisi borang. Segala maklumat, panduan dan cara-cara mengisi borang terdapat dalam Panduan Mengisi Borang Aplikasi dalam Talian Untuk Lepasan SPM. Download panduan ini dan baca dengan teliti dan fahamkan semuanya. Mulakan mengisi segala maklumat yang diperlukan dalam borang terutama yang bertanda * dan jangan lupa klik butang "Sah & Hantar". Anda boleh mencetak permohonan anda untuk simpanan sebagai bukti permohonan. Sila klik disini untuk mula mengisi borang permohonan yang sebenarnya.

Keenam, (Untuk pemohon kategori C & D sahaja) Anda mesti mencetak maklumat permohonan anda dan dihantar ke IPTA yang anda pilih bersama-sama dokumen lain iaitu:

  • Salinan kad pengenalan/MyKad anda
  • Salinan Sijjil Kelahiran anda, serta ibu dan bapa anda
  • Salinan Sijil berhenti sekolah/ Surat akuan
  • Surat akuan majikan (jika berkaitan)
  • Transkrip penuh Akademik dan sijil termasuk sijil ulangan

Ketujuh, Anda boleh menyemak permohonan anda untuk memastikan tiada kesilapan berlaku sewaktu mengisi borang.
Klik disini untuk menyemak permohonan anda.

Kelapan, Anda hanya boleh mengemaskini, mengubah dan memperbaiki permohonan anda sebanyak 3 kali sahaja sebelum tarikh tutup permohonan. Itulah sebabnya saya mahu anda betul-betul bersedia sebelum mengisi borang. Jangan ada maklumat yang tertinggal. Klik disini untuk mengemaskini permohonan anda.

Anda telahpun mengetahui perkara-perkara penting untuk memohon ke IPTA. Bertindak cepat segera sementara peluang masih terbuka. Tarikh tutup 4 APRIL 2011. Saya harap anda berjaya mencapai cita-cita dan selamat maju jaya.