Panduan Membeli-belah dan Berbelanja Dimusim Perayaan
Posted by Norasikin Basri on Tuesday, August 2, 2011
Under: Sembang-sembang dan tip masakan
Pasaraya dan hypermarket sentiasa melayangkan iklan dengan senarai barangan makanan tertera dengan harga yang sangat istimewa. Saya amat peka dengan harga-harga barangan keperluan keluarga saya. Biasanya harga mereka memang tidak jauh berbeza. Tetapi ada sesetengah barang makanan yang sangat menarik perhatian saya. Harga yang tertera tak sampai separuh dari harga biasa. Ini akan menyebabkan pelanggan terkejar-kejar menuju ke premis perniagaan mereka. Apabila sampai disana barulah disedari, barangan makanan yang dipromosikan hanyalah barangan yang langsung tidak berkualiti dan sudah hampir tamat tempoh. Kalau barang dapur mungkin sudah mulai membusuk, layu, kering dan sebagainya.
Terdapat juga promosi baju, kain dan langsir yang pasti menyebabkan kaum wanita tak senang duduk selagi belum berkunjung kesana. Macam mana hati nak senang kalau diskaun sehingga 90% bermakna kain yang berharga RM100 dijual pada harga RM10. Biasanya kain yang ditawarkan pada harga ini adalah lebihan kain dari gulungan terakhir. Kain ini biasanya tidak sampai 4 meter iaitu saiz normal untuk sepasang baju, dilipat dan digulung untuk memudahkan disimpan. Kalau anda ingin membeli kain seperti ini, pastikan anda membeli pasangannya sekali kerana kain ini hanya cukup untuk membuat baju sahaja atau kain sahaja. Mungkin juga kain yang ditawarkan ini cuma kain dengan corak yang telah ketinggalan zaman atau telahpun lusuh dimakan hari.
Ada juga promosi yang bertujuan untuk menggalakkan pengguna menggunakan produk mereka berbanding produk lain. Contohnya pengusaha cuba melakukan kempen menggalakkan pengguna menggunakan krimer berbanding susu pekat manis dengan alasan krimer lebih menjimatkan. Melalui pengiraan mereka membuktikan pengguna akan mendapat lebih banyak minuman apabila menggunakan krimer. Hakikatnya mereka mengenepikan penggunaan gula dalam air yang dibancuh dengan krimer sedangkan susu pekat manis telah mengandungi gula. Kalau tak perasan memang akan terus percaya sahaja omong kosong begini.
Cuba la elakkan dari membeli secara kredit. Ada juga kedai yang membolehkan pembayaran dibuat sebanyak 3 kali tanpa faedah. Dengan tawar-menawar yang baik, anda boleh mendapatkan barangan yang anda perlukan jauh lebih berbaloi dari kedai yang menawarkan harga murah. Sentiasa berfikir panjang untuk setiap tawaran yang anda dengar dan lihat. Jangan membeli-belah menggunakan emosi. Cuba berfikir dengan tenang dan kekal dengan tip berbelanja yang pernah saya kongsikan dahulu tak kira musim perayaan atau tidak.
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: panduan berbelanja membeli-belah promosi strategi perniagaan jualan murah hari raya aidilfitri perayaan penipuan terbongkar
blog comments powered by Disqus



