Tahun 2012, tiada siapa yang menduga apa yang akan berlaku. Biasanya kita akan melengkapi diri dengan azam baru menuju kearah kehidupan yang lebih baik. Bagaimanapun, ramai yang terlalu teruja untuk menempuh tahun baru sehinggakan melupakan segala-galanya yang telah dilalui tahun lepas. Biasanya hanya yang menggembirakan sahaja diingati sedangkan yang sedih dan memalukan dilupakan begitu sahaja. Jadi di tahun baru ini, saya mengajak anda bertafakur sejenak mengenangkan segala suka duka tahun 2011 agar dapat dijadikan pengajaran dan sempadan dimasa akan datang. Renungkan semula azam-azam tahun lepas yang kurang atau tak berjaya dicapai. Fikirkan semula sebab-sebab kegagalan ini dan pastikan kesilapan ini tidak berulang semula. Semoga azam tahun baru juga azam-azam tahun yang lepas-lepas dapat disempurnakan tahun ini.


Pai epal, memang mudah menghasilkannya tetapi pai epal yang menggunakan teknik menggoreng seperti ini agak leceh sedikit terutama dalam menghasilkan kulit pai yang rangup dan cantik. Jika pai yang dibakar, masalah ini mungkin akan selesai dengan mudah. Asalkan menggunakan minyak yang lebih untuk pastrinya, pasti pai anda akan rangup dan rapuh. Saya biasanya berdepan dengan masalah inti pai yang bocor apabila digoreng.


Inti pai mempunyai kandungan cecair yang banyak, Apabila panas, cecair ini akan mengembang dan menolak pastrinya sehingga bocor. Setelah bocor, inti ini akan tersebar ke seluruh minyak dan menjejaskan rupa pai yang lain. Gambar-gambar ini adalah hasil dari pai epal yang bocor. Cuma satu je yang bocor, itupun kecik je bocornya tapi habis semua pai epal saya jadi huduh. Mungkin saya perlu goreng satu persatu supaya jika bocor, ia tak akan merosakkan yang lain. Namun saya tak akan berputus asa. Saya akan terus berusaha sehingga mendapat hasil yang memuaskan. Setakat ini, saya dah memikirkan beberapa kaedah yang boleh saya lakukan dan berharap kali ini ia akan berjaya.


Begitulah contoh yang ingin saya tunjukkan kepada anda. Bukan semua yang kita lakukan akan terus menjadi. Kadang-kadang berbelas kalipun masih mendapat hasil  yang sama. Saya tak mau berpura-pura. Saya tak mahu menunjukkan hanya hasil yang cantik sahaja diblog ini. Saya mahu anda semua tahu, inilah hakikat yang harus saya tempuhi kerana saya sedang belajar. Saya harap andapun begitu juga. Terima kasih kerana menyokong usaha saya selama ini.