Bagi yang mempunyai anak bersekolah pagi, sering menghadapi kesukaran menyediakan sarapan untuk mereka. Kena pulak anak yang belum pandai berdikari atau tiba-tiba terlewat bangun pula. Bertambah-tambah la kelam-kabutnya. Akhirnya anak-anak dibekalkan dengan makanan yang dibeli digerai-gerai atau makanan segera yang hanya perlu digoreng atau dipanaskan sahaja. Bila cerita pasal makanan segera, apa kata anda buat sendiri makanan segera untuk anak-anak. Selain dapat memudahkan kita diwaktu pagi, kita juga dapat menyediakan sarapan yang enak, jimat dan selamat untuk mereka. Untuk permulaan, mari kita belek resepi Nugget Ikan dan Burger Ikan Mini dibawah ni dahulu.


Bahan-bahan untuk Nugget Ikan dan Burger Ikan Mini
300g Isi Ikan Kerisi
150g Tepung Jagung
1 bj Putih Telur
2 cmb Gula
1 cmt Garam
2 cmb Tepung Gandum
1 cwn Breadcrumb Kuning
Air
Minyak untuk menggoreng
Roti Burger Mini
Mayonis
Sos Cili
Salad / Timun / Tomato
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam


Cara membuat Nugget Ikan dan Burger Ikan Mini
  1. Masukkan isi ikan tenggiri dalam blender. Masukkan juga putih telur, Gula, garam dan air sehingga sama paras dengan isi ikan lebih kurang 200ml.
  2. Kisar sehingga halus semuanya. Jika sukar mengisarnya, lepas dikacau dengan sudu pun masih susah juga, bolehlah di tambah sedikit air lagi.
  3. Masukkan semua bahan kisar dalam mangkuk. Campurkan tepung jagung dan kacau rata. Boleh menggunakan mixer agar tiada lagi tepung jagung yang berketul.
  4. Panaskan air 1L dalam periuk sampai mendidih dan kecilkan api biar merenih.
  5. Basahkan tangan, ambil lebih kurang 30g, bebolakan diatas tapak tangan dan leperkan. Masukkan dalam air merenih tadi.
  6. Buat beberapa lagi selagi muat periuk. Kuis dengan senduk untuk patti yang melekat pada dasar periuk. Jika ia timbul, bermakna ia telah masak dan bolehlah diangkat dan dituskan.
  7. Lakukan sehingga habis semua adunan.
  8. Bancuh tepung gandum dengan sedikit air sehingga mendapat batter yang tidak terlalu cair. Anggarannya lebih kurang 1 tepung dan 4 air.
  9. Apabila patti sejuk, celup dalam adunan batter dan golekkan dalam breadcrumb. Susun dalam dulang sehingga habis dan bolehlah digoreng dengan minyak banyak atau disejukbekukan.
  10. Nugget ikan, sedia untuk dijadikan burger. Untuk burger ikan mini, saya rasa tak perlu diterangkan kot.


Tip Masakan Komersial
  1. Teknik ini adalah teknik yang sama dalam menghasilkan bebola ikan cuma saya mudahkan sedikit kerana bebola ikan komersial, menggunakan sejenis bahan kimia untuk menjadikan ia lebik kenyal. Jadi adunannya sangat lembut dan amat memerlukan kemahiran tangan dalam membentuk bebola.
  2. Resepi ini menggunakan banyak tepung jagung kerana target saya, adalah nugget yang menggunakan teknik menggoreng dalam minyak. Jadi nugget masih dikira lembut. Kalau hanya merebus, hasilnya adalah sangat keras, jika ingin membuat bebola ikan rebus, anda perlu kurangkan penggunaan air agar dapat menggurangkan penggunaann tepung jagung.
  3. Mengasingkan isi ikan tidaklah begitu sukar. Anda hanya perlu membelah ikan kepada dua selari dengan tulang belakangnya. Kemudian gunakan sudu untuk mengaut isi ikan daripada tulang dan kulit. Gunakan ikan yang mempunyai isi putih dan licin. Boleh gunakan ikan yang sedap seperti tenggiri atau ikan yang tak sedap seperti kacang. Boleh juga menggunakan ikan yang murah seperti keli. Kalau susah sangat, gunakan je fillet ikan dory sejukbeku. Setiap satu rasanya berbeza.
  4. Tiada rempah yang digunakan untuk resepi ini. Ikan tidak mempunyai rasa yang kuat. Rempah akan menutup rasa ikan ini. Gula yang banyak, dah cukup untuk menaikkan rasa manis ikan. Kalau anda inginkan kelainan, cukur sekadar menambah sedikit tepung ayam goreng sahaja.
  5. Pembuatan fishball komersial menggunakan mesin pencincang berkelajuan tinggi. Jadi semua bahan dicampurkan sekaligus termasuk tepung jagung dan dicincang. Kalau blender, memang tak mampu mengisar dengan sekata. Mungkin anda boleh mencuba dengan food processor. Jika mesin anda mengeluarkan banyak haba, adalah lebih baik jika anda menggunakan air sejuk atau ais. Ini untuk mengelakkan isi ikan menjadi masak dan memelihara kesegarannya.
  6. Tepung jagung dan telur membantu mengikat protin ikan yang dicincang dan menjadikan patti yang kenyal. Jika sewaktu dikisar, haba dah menjadikan isi ikan masak, protin ini tidak boleh terikat lagi dan patti tak dapat dibentuk.
  7. Kuantiti air dan tepung jagung memang akan berbeza bergantung kepada jenis ikan dan peralatan yang anda gunakan. Jadi ujilah dahulu adunan ikan yang terhasil. Basahkan tangan dan ambil sejemput letakkan diatas tapak tangan. Bentuk tangan menjadi seperti mangkuk dan golekkan adunan dengan menggerakkan tangan sehingga menjadi bebola. Hasil yang baik sepatutnya adunan tak melekat pada tangan yang basah. Lagi lembut adunan yang anda buat, lebih lembutlah hasilnya tetapi lagi sukarlah membentuknya. Oleh itu, buat mengikut kemampuan anda. Tambah atau kurangkan tepung jagung atau air untuk mendapatkan hasil yang sesuai dengan anda.
  8. Anda boleh terus menggoreng patti ini tanpa direbus terlebih dahulu. Hasilnya lebih kenyal dan lembut berbanding jika anda merebus dahulu. Anda hanya perlu membentuk adunan menjadi patti dan salutkan dengan breadcrumb tanpa perlu batter. Bezanya, cara ini lebih sukar kerana anda perlu terus menggoreng setiap kali sekeping patti selesai dibentuk. Malah breadcrumb sangat mudah hangus. Jika tidak disalutkan dengan breadcrumb terlebih dahulu, patti ini dah tak boleh disalut lagi kerana telah berminyak.
  9. Lebih mudah jika anda ratakan sahaja adunan didalam loyang atau acuan dan kemudian terus dikukus. Ratakan lebih kurang 1 cm dan setelah dikukus, potong menjadi bentuk kegemaran atau segi empat sahaja. Pastikan tiada gelembung udara dalam adunan dan sapukan minyak masak pada loyang supaya mudah dikeluarkan setelah masak.
  10. Nugget ikan tak perlu digoreng terlalu lama kerana ia telah masak sewaktu direbus atau dikukus. Jadi menggoreng hanya untuk merangupkan breadcrumb dan melembutkan teksturnya. Gunakan api sederhana agar breadcrumb tidak terus hangus. Setelah disejukbekukan, boleh terus digoreng tetapi gunakan api yang lebih kecil untuk memberi masa bahagian dalamnya defrost terlebih dahulu.
  11. Nugget yang disejukbekukan boleh bertahan sekurang-kurangnya 6 bulan dan mungkin melebihi 1 tahun kerana nugget ini sudah sedia masak. Buatlah dalam kuantiti besar untuk kemudahan jangka masa panjang.