Inilah yang membuatkan saya sibuk sepanjang minggu lepas sehingga sekarang. Saya terpaksa melupakan mengenai blog masakan barat komersial untuk sementara waktu untuk mengejar sesuatu yang lebih penting iaitu masa depan pelajar-palajar saya. Saya sedang menyiapkan sebuah buku nota dan latihan berkaitan Penyediaan Masakan Barat dan Timur untuk kegunaan pelajar saya. Semoga dengan buku yang saya tulis ini, mereka akan mudah mempelajari matapelajaran ini. Gunakanlah sebaik-baiknya. Tanyalah apa sahaja berkenaan buku ini kerana penulisnya ada didepan mata iaitu saya sendiri.

Buku nota dan latihan ini mengandungi soalan-soalan yang telah saya tulis dan keluarkan sepanjang 10 tahun saya berkhidmat. Kini saya kumpulkan semuanya menjadi sebuah buku. Saya telah mula membuat buku ini sejak 4 tahun yang lalu. Pada mulanya saya hanya fotostat sahaja untuk pelajar-pelajar saya. Saban tahun koleksi kian bertambah menyebabkan saya mengambil keputusan untuk mengeluarkannya dalam bentuk buku fizikal agar pelajar saya lebih bersemangat untuk belajar.

Beberapa hari lepas saya mengunjungi sebuah kedai percetakan yang diusahakan oleh seorang usahawan melayu untuk mendapatkan sebutharga untuk mencetak buku Nota dan Latihan Penyediaan Masakan Barat dan Timur ini. Agak mengejutkan kerana dia meletakkan harga RM55.00 sebuah. Sungguh tak masuk akal. Memang la saya cetak tak banyak. Tak sampai 100 buah pun tapi harga tu terlalu melampau. Saya tak akan membebankan pelajar saya. Saya akan mencari dan terus mencari sehingga saya berjumpa satu syarikat yang sanggup mencetak buku saya ini dengan kos tidak melebihi RM20.00. Kalau orang melayu tak sanggup, saya akan pergi kepada bangsa lain. Dalam hal macam ini, lebih baik saya bayar kepada seorang yang bukan melayu untuk membantu beratus-ratus pelajar melayu berbanding membayar dan membantu seorang usahawan melayu sedangkan beratus-ratus pelajar melayu akan terabai.

Sekarang, suami saya sedang melakukan editing terakhir dari segi susun atur dan sebarang kesilapan. Cover buku diatas tu pun dia yang hasilkan. Mujurlah suami sudi membantu. Kalau tidak, mati kering la saya didepan komputer. Kesian dia, sampai tak tidur malam semata-mata hendak membantu saya. Saya cuba menghasilkan cover buku dengan warna terang dengan harapan, dapat menimbulkan minat kepada pelajar saya untuk membacanya. Saya mohon, belajarlah bersungguh-sungguh. Saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk memudahkan anda belajar. Apa yang saya mahu anda buat hanya belajar, belajar dan belajar.

Kepada pembaca blog ini, saya minta pendapat mengenai cover buku ini. Mungkin ada sesuatu yang perlu saya perbaiki. Hasrat saya hanya untuk menimbulkan minat dan semangat kepada pelajar saya untuk belajar. Saya dah tak tahu apa yang harus dilakukan dengan mereka. Kalau ada idea tolonglah kongsikan.