Hari Raya kalau tak ada ketupat memang rasa tak ada makna. Kadang-kadang apabila berlaku ketupat yang dibuat tak mencukupi memerlukan kita mencari alternatif lain untuk menggantikan ketupat. Semua dah maklum, zaman sekarang ni daun ketupat pun dah kena beli. RM3 pun cuma dapat dalam 50 helai. Itupun banyak yang koyak, terlalu kecil dan lain-lain. Jadi kalau beli satu ikat memang tak cukup terutama untuk keluarga saya. Tambahan pula kalau makan dengan ayam masak merah. Nyum!

Suatu ketika dulu, membuat nasi impit atau dalam bahasa masakan barat dipanggil rice cake, memang leceh. Dah namanya nasi impit, tentulah cara buatnya memerlukan kita menghimpit nasi sehingga padat. Arwah ibu mertua saya dulu, menghimpit nasi ni dengan menggunakan batu giling. Selagi belum padat selagi tu dihimpitnya sekuat hati. Jadi hari ni saya nak kongsikan cara membuat nasi impit cara komersial dimana dengan cara ini kita tak perlu menggunakan tenaga yang banyak, tak perlu menunggu sampai semalaman untuk makan dan yang paling utama amat menjimatkan. Hasilnya pula amat cantik dimana nasi impit lebih licin, lembut dan bentuknya lebih menarik.

Bahan-bahan yang diperlukan

1 1/2 cawan beras
9 cawan air
1/4 cawan minyak masak

Cara-caranya

Tanak nasi sehingga airnya kering. Jika anda menggunakan periuk nasi elektrik, suis periuk nasi akan off secara automatik sebelum sempat nasi kering kerana bahagian dasarnya telah kering jadi anda perlu mengacau nasi ini sebelum sempat suis ini off. Kacau dengan ganas supaya nasi ini hancur. Lagi hancur lagi bagus. Kalau air masih belum kering lagi, on semula suis peruk nasi dan tanak lagi sehingga kering.

Setelah nasi kering, tutup api, tuangkan minyak masak dan kacau lagi. Lenyekkan dengan sudip atau senduk sewaktu masih panas. Oleh itu sila berhati, hati. jauhkan dari anak-anak dan suami. Lagi hancur nasi tu lagi haluslah hasil yang akan anda dapat.

Bila anda dah puashati dengan tekstur nasi itu, masukkan dalam acuan yang telah dilenserkan dengan sedikit minyak masak.

Ratakan dengan menggunakan tangan yang dilapisi plastik. Waktu ni, nasi dah tak panas sangat. Kalau tak tahan jugak, sila dapatkan ilmu kebal dari Cik Suri Jejari Pantas.
Sejukkan sesuka hati anda atau sumbat je dalam peti ais sehingga nasi impit ini cantik apabila dipotong. Biasanya setengah jam dah boleh makan dah.

Sedap dimakan bersama ayam masak merah dan kuah lodeh. Kalau tak caya, boleh tanya kat model blog ini.

Sekarang ni saya sibuk sangat dengan kuih mumia yang saya perkenalkan dulu. Sekarangpun dah berbelas kilogram kuih ni yang telah ditempah. Jadi mungkin saya tak dapat post entri baru selalu. Dalam kepala hanya ingat nak mengawet mumia je. Blogwalking? Entah la..