Cuma satu je yang saya tak gemar dengan Nasi Ayam Claypot yang dijual di gerai-gerai atau restoran iaitu mereka menggunakan nasi yang dah siap ditanak dan dimasukkan dalam periuk tanah liat. Di restoran cina, mereka masih mengekalkan keasliannya. Setiap Nasi Ayam Claypot dimasak secara berasingan setiap seorang daripada awal. Bersusun dapur arang sampai 20 biji. Kalau mereka boleh, kenapa kita tak boleh pulak?

Contest Confidence 

Untuk pelajar-pelajar saya yang cemerlang dalam SPM 2013, saya terlupa pulak nak tanya sebelum ini. Sudah tentukan kemana hala tuju anda selepas ini? Kolej mana yang anda utamakan untuk melanjutkan pelajaran. Bidang apa yang akan pilih, adakah masih dalam vokasional atau anda dah tawar hati? Bidang apapun yang akan anda terokai, pastikan selaras dengan apa yang di cita-citakan. Asas kulinari anda sudah tinggi, sayanglah jika disia-siakan. Ilmu yang ada jika tak digunakan, lama-lama ia akan pudar.



Bahan-bahan untuk Nasi Ayam Claypot
½ cwn Beras
1 cwn Air
50g Isi Ayam
2 ulas Bawang Putih
½ inci Halia
1 kpg Cendawan Shitake
3 cmb Kicap Manis
1 cmb Sos Tiram
2 cmt Minyak Bijan
1 cmt Isi Ikan Tenggiri Jeruk
I bj Telur
½ bj Cili Kering
1 cmb Minyak Masak untuk menumis
Daun Bawang sebagai hiasan.



Cara membuat Nasi Ayam Claypot
  1. Cendawan shitake dan cili kering direndam dalam air panas lebih kurang ½ jam – 1 jam.
  2. Ayam dipotong kecil dan dibersihkan. Perap isi ayam bersama seulas bawang putih dan halia yang ditumbuk, kicap manis, sos tiram dan minyak bijan.
  3. Beras dicuci dan dimasukkan dalam claypot. Masukkan air dan tanak sehingga kering.
  4. Sementara menanak nasi, tuskan dan perah cendawan shitake. Potong 4. Cili kering dipotong pendek ½ inci.
  5. Panaskan minyak masak dalam kuali yang lain dengan api besar dan tumiskan seulas lagi bawang putih dan cili kering sehingga wangi.
  6. Masukkan isi ayam yang diperap tanpa air perapannya. Saute sehingga mendapat warna yang berkilat. Masukkan cendawan shitake.
  7. Setelah itu barulah dituangkan air perapan dan masak sebentar sehingga pekat sedikit. Tutup api.
  8. Sebaik sahaja nasi kering, susunkan isi ayam yang telah masak diatas nasi. Susun juga cendawan shitake dan taburkan isi ikan tenggiri jeruk.
  9. Akhir sekali, curahkan kuah dari masakan ayam tadi dan pecakan sebiji telur ditengah-tengah. Tutup claypot dan biarkan ia masak sempurna dengan api kecil.
  10. Sebelum dihidang, hiaskan dengan daun bawang dan sebagainya.


Tip Masakan Komersial
  1. Nasi ayam claypot memang berbeza dari nasi ayam hainan atau nasi ayam biasa. Nasi ayam claypot hanya menggunakan nasi putih dan bukan nasi berperisa. Bagaimanapun kedua-duanya amat terkenal dalam masakan cina.
  2. Tanpa claypot, tiadalah nasi ayam claypot. Sekali fikir, tak ada bezanya masak dalam claypot atau menggunakan periuk biasa. Namun jika anda peka, sebenarnya rasa masakan ini akan jauh berbeza walaupun menggunakan bahan yang sama. Tak dapat saya ceritakan bagaimana perbezaannya melainkan anda sendiri merasai kedua-duanya dalam masa yang sama.
  3. Ramai yang tak menggemari cendawan shitake terutamanya orang melayu kerana bau dan rasanya yang kuat. Namun inilah ciri-ciri utama nasi ayam claypot. Cendawan shitake digunakan secara meluas dalam masakan cina. Gabungan bau dan rasa cendawan shitake dan minyak bijan menjadikan masakan ini sangat istimewa.
  4. Jika anda rasakan cendawan shitake mempunyai rasa yang terlalu kuat, selepas direndam dan diperah anda boleh taburkan dengan sedikit gula. Ini akan mengurangkan sedikit baunya dan rasanya akan sedikit manis.
  5. Ayam perlu dimasak dengan api yang besar agar jusnya terkunci didalam. Kemudian barulah mendapat rupa ayam yang bekilat. Ia juga menjimatkan masa. Keseluruhan proses menyediakan ayam ini sepatutnya tak sampai 1 minit.
  6. Saya gemarkan nasi ayam claypot yang kaya dengan rasa. Kalau boleh keseluruhan nasi mesti sebati dengan kuahnya. Jika anda seperti saya, anda boleh tambahkan bahan cecair perapan seperti kicap manis, sos tiram dan minyak bijan. Jika perlu boleh ditambahkan air. Tambahan pula, cendawan shitake akan menyerap kebanyakkan kuah yang anda masukkan.
  7. Masakan ini tidak menggunakan garam. Malah dalam masakan cina selalunya tak menggunakan garam kerana mereka mahukan rasa yang asli semulajadi. Bahan-bahan yang digunakan sudah cukup memberi rasa masin terutama kicap. Tambahan pula saya menggunakan ikan tenggiri jeruk yang sememangnya sangat masin. Memang syok ketika makan, adakalanya tergigit ikan tenggiri jeruk. Terasa kenikmatannya.
  8. Anda seharusnya memahami beras-beras yang biasa anda gunakan terutamanya dalam menyukat penggunaan air. Setiap jenis beras mungkin berbeza. Oleh itu, setiap kali memasak menggunakan beras, pastikan sukatannya betul dan tepat agar nasi dapat masak dengan sempurna.
  9. Rupa masakan adalah yang kedua penting dalam menarik pelanggan selepas bau. Apabila bau sedap, pelanggan akan datang. Selepas lihat rupa yang menyelerakan barulah pelanggan akan cuba. Selepas beli baru pelanggan dapat rasa. Masakan cina amat mementingkan ciri-ciri ini. Jadi susunlah bahan-bahan dengan cantik diatas nasi. Anda boleh tambahkan sayuran yang berwarna-warni diatasnya.
  10. Bahagian yang paling saya suka pada nasi ayam claypot adalah keraknya. Bahagian keraknya adalah bahagian yang paling wangi dan berperisa. Tak hairanlah, tukang-tukang masak cina akan merasa keraknya dahulu dalam menentukan keberhasilan masakan nasi ayam claypot. Oleh itu, timing adalah sangat penting agar nasi ayam claypot mempunyai kerak yang nipis dibawahnya. Tak boleh terlalu hitam dan tak boleh terlalu tebal. Kalau tak ada kerak, tiadalah kenikmatannya. Pastikan juga kuahnya sampai ke dasar clayppot tetapi tidak terlalu banyak hingga menjadikan nasi lembik atau padat.
  11. Ramai peniaga menanak nasi yang bayak terlebih dahulu kemudian barulah dimasukkan kedalam claypot untuk porsi 1 orang. Memang tak banyak bezanya malah masa memasak lebih cepat tetapi kenikmatan kerak seperti yang saya katakan diatas tadi memang tiada. Lebih baik anda stanby sahaja beberapa nasi yang siap ditanak berasingan dalam claypot. Bila ada pelanggan tempah barulah disusun isinya dan dicurah kuahnya. Bukan lama sangat menanak nasi.