Satu perkara penting yang saya pelajari dalam menjalani pemakanan sihat ialah, saya memang kuat makan. Bukan itu sahaja, makanan yang saya makan mengandungi sangat banyak kalori. Dalam banyak-banyak makanan yang saya makan, saya dapati gulalah yang menyumbang paling banyak kalori. Walaupun makan sikit, kalorinya dah melebihi dari yang tubuh saya perlukan dalam sehari. Lebih teruk lagi, gula ni langsung tak mengenyangkan. Tetap mahu  makan benda lain. Kesimpulannya, kalau saya minum sirap je sepanjang hari, saya tetap rasa lapar dan berat tetap bertambah. Apa guna berlapar kalau berat tetap bertambah.


Dibawah ini ada resepi Muffin Oatmeal yang boleh anda cuba untuk mengurangkan rasa lapar sambil menjaga berat badan agar tidak melambung tinggi. Walauppun oat mengandungi kalori yang agak tinggi tetapi ia memberikan rasa kenyang yang lebih lama kerana kandungan fibernya yang juga tinggi. Karbohidrat memang tinggi kalorinya tapi tanpa karbohidrat, laparlah saya sepanjang hari. Macam mana otak ni nak berjalan….



Bahan-bahan untuk Muffin Oatmeal – Resepi Nak Kurus Terpimpin
240g Susu Cair
20g White Vinegar
2 cmt Esen Vanilla
240g Pisang Masak
30g Minyak Jagung
90g Rolled Oats
200g Tepung Gandum
50g Gula Rendah Kalori
1 cmt Baking Powder
1/2 cmt Garam
1/2 cmt Serbuk Kulit Kayu Manis
50g chocolate chips – jika suka



Cara Membuat Muffin Oatmeal – Resepi Nak Kurus Terpimpin
  1. Lenyek pisang masak dan campurkan bersama susu cair, white vinager, esen vanilla, minyak jagung, dan gula rendah kalori. Kacau hingga gula larut sedikit.
  2. Gaulkan dalam mangkuk lain, bahan selebihnya iaitu rolled oats, tepung gandum, baking powder, garam, serbuk kulit kayu manis dan chocolate chips.
  3. Panaskan oven 180˚C dengan api atas bawah dan turbo fan jika ada. Sediakan muffin cups saiz besar.
  4. Campurkan bahan basah dan bahan kering tadi sekaligus dan kaub balik beberapa kali sahaja. Tak mengapa jika masih ada tepung yang masih kering atau cecair yang masih mengalir.
  5. Cedokkan kedalam muffin cup. Boleh menghasilkan 12 – 15 bj muffin.
  6. Bakar dalam oven di rak tengah lebih kurang 20 minit. 
  7. Setelah masak, sejukkan dahulu baru dihidangkan.



Tip Masakan Komersial.
  1. Pisang yang baik untuk muffin ialah pisang yang telah betul-betul masak. Sama ada pisang itu masam atau manis tidak menjadi masalah kerana anda boleh menambah atau mengurangkan sukatan gula bergantung kepada rasa pisang anda. 
  2. Gula rendah atau tanpa kalori banyak dijual di pasaraya sekarang ni. Saya pilih gula rendah kalori berasaskan tebu yang lebih murah harganya. Biasanya gula ini mempunyai tekstur yang sama seperti gula pasir biasa dengan kandungan kalori hanya 1/5 berbanding gula biasa. Pilihan gula yang lain adalah pemanis tiruan yang hampir tiada kalori tetapi ia lebih mahal dan biasanya telah siap dipaket kecil-kecil 1g. Gula tebu, boleh dibeli dalam bungkusan 1 atau ½ kg. Anda juga boleh menggunakan ekstrak stevia yang boleh tahan jugak harganya. Biasanya ekstrak stevia dijual dalam bentuk cecair dalam botol penitis. 
  3. Walau apapun pemanis yang anda gunakan, sentiasa rasa dahulu campuran bahan basah agar sesuai dengan selera anda. Tambahkan pemanis sedikit demi sedikit untuk mengelakkan pembaziran. Nasihat saya, pilihlah pemanis yang tahan panas dan sesuai untuk masakan. Beberapa jenis pemanis hanya sesuai untuk minuman sahaja.
  4. Kulit kayu manis hanyalah sebagai perasa yang sangat sesuai dengan rasa pisang. Pastikan anda gunakan serbuk kayu manis yang betul. Kulit kayu manis yang sebenar adalah nipis dan rapuh dan boleh dikisar halus. Kulit kayu manis yang biasa dijual untuk masakan seperti kari dan sebagainya adalah tebal dan keras tetapi jauhh lebih murah. Kayu ini sebenarnya bukanlah kulit kayu manis yang sesuai dibuat kuih. Lebih baik beli sahaja dikedai dalam bentuk serbuk. Setahu saya kulit kayu manis yang tebal dan keras tu memang tak dijual dalam bentuk serbuk kerana langsung tak sedap. Kasar pulak tu.
  5. Saya menyarankan anda menggunakan mana-mana produk yang lebih baik untuk anda dalam resepi Muffin Oatmeal ini. Bahan-bahan seperti minyak tanpa kolesterol, susu rendah lemak, dan sebagainya sesuai anda gunakan. Kalau ada chocolate chip rendah kalori dan tepung tanpa gluten juga boleh anda cuba. Tujuannya adalah supaya anda dapat mengurangkan seberapa banyak kalori yang boleh dalam makanan anda.
  6. Saya menggunakan rolled oats kerana ia lebih asli berbanding oat segera atau oat cepat dimasak. Rolled oat lebih sesuai untuk muffin ini kerana ia tak membuatkan muffin ini seakan berlendir dan kenyal. Bagaimanapun selepas dimasak, muffin ini seolah-olah masih basah. Beri ia sedikit masa untuk menyerap lembapan dan teksturnya akan menjadi lebih baik. Lebih sedap kalau dimakan selepas 1 hari.
  7. Bahan-bahan lain boleh ditambah kedalam muffin oat untuk menjadikan ia lebih sedap dan berkhasiat. Saya cadangkan pelbagaikan dengan kismis, kurma, kekacang dan sebagainya kerana kita tahu makanan seperti ini kaya dengan vitamin dan mineral. Gunakan makanan kegemaran Nabi sebagai makanan pilihan kita juga.