Petang-petang, bila boring, tak ada benda nak dikunyah, membuat muffin adalah pilihan yang tepat. Muffin lebih mudah, cepat dan mengenyangkan berbanding cupcake. Muffin coklat berganda paling sesuai untuk penggemar coklat tegar kerana rasa coklat pada muffin ini sangat kuat tambahan pula dengan tekstur muffinnya yang lembab. Bagi yang tak suka makanan yang terlalu bercoklat, boleh cuba Resepi Cupcake Coklat Tipis. Kalau nak yang rangup pula, boleh cuba Biskut Coklat Barat.


Bahan-bahan untuk Muffin Coklat Berganda
120g Majerin dicairkan
2 bj Telur A
230g Tepung Gandum
60g Serbuk Koko
200g Gula Perang
1 cmt Baking Powder
1 cmt Soda Bikarbonat
2 cmt Esen Vanila
1 cwn Susu Cair
1 cmb Distilled White Vinegar (Cuka)
50g Chocolate Chip
1 cmt Kopi Segera
Secubit Garam


Cara membuat Muffin Coklat Berganda
  1. Sediakan buttermilk terlebih dahulu. Hanya tuangkan susu kedalam bekas yang mengandungi cuka dengan cara menarik susu. Dengan ini anda tak perlu mengacau lagi. Tinggalkan 15-20 minit untuk susu mendadih.
  2. Campurkan bahan-bahan kering yang boleh diayak iaitu tepung gandum, serbuk koko, baking powder dan soda bikarbonat. Ayak semuanya untuk hasil yang lebih baik.
  3. Campurkan dan gaul chocolate chip dan gula kedalam bahan-bahan kering yang telah diayak.
  4. Campurkan bahan-bahan basah dalam satu bekas iaitu telur, buttermilk, majerin cair, esen vanila. Kacau rata.
  5. Larutkan nescafe dan garam dalam campuran bahan-bahan basah.
  6. Dalam bekas adunan, campurkan bahan basah kedalam bahan kering sekaligus. Kaub balik beberapa kali sahaja supaya ia bersatu. Jangan dikacau rata kerana ia akan menjadikan muffin padat dan berat. Jangan risau jika masih banyak tepung yang masih terpisah dan masih banyak cecair yang mengalir dibawah kerana itu lebih baik.
  7. Masukkan dalam 12 acuan muffin yang besar dan bakar didalam ketuhar dengan suhu 170˚C selama 20 minit.


Tip Masakan Berguna
  1. Muffin sebenarnya adalah cupcake ringkas dimana penyediaannya dimudahkan supaya ia dapat dimakan dengan lebih cepat. Kini muffin telah mendapat imej tersendiri dimana jika ia gebu, ia tidak akan dianggap muffin lagi. Oleh itu, proses kaub balik perlu betul seolah-olah kita ingin makan muffin dengan segera. Setiap kali menyediakan muffin, proses-proses remeh seperti perlu gaul sebati, memukul majerin atau telur sehingga kembang dan sebagainya perlu diabaikan.
  2. Muffin ini lebih enak dengan menambah sedikit kekacang didalamnya kerana kacang memang sangat sesuai dengan rasa coklat. Tambahkan pelbagai kekacang sebaik-baiknya yang dicincang kasar tetapi pastikan kacang telah dibakar rangup terlebih dahulu.
  3. Banyak resepi kek dari barat menggunakan buttermilk. Saya harap dalam entri ini anda dapat mempelajari teknik mudah menghasilkan buttermilk agar dapat menguasai kek-kek lain yang popular dan menggunakan buttermilk seperti Kek Red Velvet. Buttermilk boleh memberikan rasa kek seperti keju jika dapat menghasilkan buttermilk dengan betul.