Walaupun dah buat biskut bijirin nestum, stok nestum kat rumah saya masih lagi banyak. Kalau nak dijadikan minuman rasa jemu pulak. Nak gunakan untuk ayam goreng nestum, berapa banyak saja le yang digunakan. Nak buat popia nestum pulak terasa malasnya. Lagipun stok susu tepung dah habis. Jadi lebih baik saya buat nestum. Kalau tak habis pun, boleh la saya agih-agihkan kepada kawan-kawan di tempat kerja. Boleh jugak mintak pendapat mereka. Kebetulan, bapa mertua saya nak datang. Kira ok la tu. Boleh guna untuk sarapan atau minum petang.

Bahan-bahan untuk Muffin Bijirin Nestum
1 ¼ cwn Tepung Gandum
1 cmt Baking Powder
½ cmt Garam Halus
½ cwn Gula
1 ½ cwn Bijiran Nestum Segera
1 cwn Susu Cair
¼ cwn Air
¼ cwn Minyak Masak
1 bj Telur

Cara membuat Muffin Bijirin Nestum
  1. Campurkan tepung, baking powder, garam dan gula. Gaul dan ketepikan.
  2. Campurkan susu, air dan bijirin nestum gaul sebati dan biarkan 1 hingga 2 minit untuk nestum menjadi kembang dan lembut.
  3. Masukkan telur dan minyak masak kedalam campuran nestum dan susu tadi. Pukul sedikit sehingga semuanya bercampur dan nestum tidak berketul-ketul.
  4. Masukkan pula campuran tepung tadi. Gaulkan dengan perlahan, sekejap sahaja sekadar untuk mencampurkan semua bahan-bahan tadi.
  5. Masukkan dalam acuan muffin. Bakar dalam ketuhar dengan suhu 180˚C selama 15 – 20 minit bergantung kepada saiz muffin.

Tip Masakan Berguna
  1. Kalau anda fikirkan dengan mendalam, teknik saya mencampurkan cecair dan nestum terlebih dahulu dan membiarkan ia kembang akan menyebabkan nestum menjadi kental. Untuk kali ini memang sengaja saya tak mahu kerangupan dalam muffin nestum. Teknik ini akan menjadikan muffin lebih kenyal sama seperti tekstur nestum yang telah kembang tadi. Lagipun penggunaan baking powder yang sedikit tanpa soda bikarbonat akan lebih menjurus kepada tekstur muffin yang sebenar. Jika anda inginkan hasil yang gebu dan lembut, lebih baik anda buat kek berbanding muffin.
  2. Apa sahaja minuman yang sesuai dimakan bersama nestum, juga sesuai untuk muffin nestum. Campurlah apa sahaja perasa sama ada koko, coklat atau kopi ikut kegemaran anda.
  3. Pernah tengok orang makan nestum dengan kismis, madu, buah-buahan dan sebagainya? Apa kata anda campurkan buah-buahan kering seperti prune, aprikot atau kurma dalam muffin nestum. Sentiasa fikirkan idea mempelbagaikan hidangan anda sambil menambahkan khasiat didalamnya
.