Kepada sesiapa yang masih belum dapat membezakan antara muffin dan cupcake, bolehlah mencuba resepi muffin asas yang saya sertakan dibawah ini. Adalah penting untuk tahu membezakan kedua-dua masakan barat ini supaya kita dapat menganalisa kejayaan sesuatu resepi. Ramai yang mengharapkan muffin mereka gebu, lembut dan halus sedangkan itu adalah ciri-ciri cupcake. Membuat muffin tidak begitu cerewet seperti membuat cupcake seolah-olah muffin direka untuk hidangan yang cepat dan mudah. Muffin juga mengutamakan bahan yang memberikan rasa pada sesuatu muffin. Contohnya, jika anda membuat muffin coklat cip, kandungan coklat cip perlulah banyak. Kalau membuat muffin pisang, rasa pisang perlulah kuat. Jadi anda perlu pastikan bagaimana hasil yang anda mahukan baru pilih sama ada nak buat muffin atau cupcake.

Bahan-bahan untuk Muffin Asas yang Sempurna
2 cwn tepung
1/4 cwn gula
1 cwn susu cair
1/3 cwn minyak masak
1 bj telur
3 cmt baking powder
1/2 cmt garam
1 cmt esen vanila

Cara membuat Muffin Asas yang Sempurna
  1. Satukan bahan-bahan kering iaitu tepung, gula, baking powder dan garam. Gaul sehingga sebati.
  2. Satukan pula bahan-bahan basah iaitu susu cair, minyak masak, vanila dan telur. Kacau sedikit supaya telur bersatu dengan bahan lain.
  3. Tuangkan bahan basah kedalam bahan kering sekaligus.
  4. Kacau cepat-cepat menggunakan garfu tetapi jangan dipukul. Pastikan semuanya sebati dengan hanya dengan beberapa kali kacau sahaja.
  5. Anda akan dapat adunan yang kental. Cedok adunan kedalam acuan muffin.
  6. Bakar dalam ketuhar pada suhu 200C tanpa fungsi turbo selama 20 minit.

Tip Masakan Komersial

  1. Oleh kerana muffin ini terlalu asas, jadi saya menambahkan beberapa bahan untuk memberi rasa pada muffin saya. Saya menggunakan coklat cip, blueberry filling, serbuk koko dan sebagainya tapi bukanlah semuanya saya letak dalam satu muffin. Kucar-kacir rasanya. Cukuplah satu atau dua bahan untuk sejenis muffin. Tentukan keserasian rasanya. Anda juga boleh menambahkan buah-buahan segar, sejukbeku atau kering.
  2. Saya akan rasa amat gembira jika anda boleh berniaga muffin dengan hanya menggunakan satu resepi asas sahaja. Kaedah ini sangat menjimatkan dan lebih mudah. Anda hanya perlu mengingati satu resepi sahaja. Anda juga tak perlu menyediakan berbagai bahan. Cuma adunkan resepi asas muffin dalam kuantiti yang banyak. Apabila berada di kiost barulah ditambahkan bahan-bahan yang mempelbagaikan rasanya sebelum dibakar.