Selamat berpuasa diucapkan kepada semua umat islam terutama pengunjung blog Resepi Masakan Barat Komersial. Semoga anda semua berjaya menjalani ibadah puasa dengan cemerlang. Saya juga bersyukur dapat sekali lagi berada di bulan Ramadhan yang mulia ini. Pada bulan puasa seperti ini terutama selepas waktu zohor, kita selalu terbayangkan berbagai jenis hidangan yang semuanya sedap dihati kita. Ada diantaranya hidangan yang tak pernah kita terfikirkan kecuali di bulan Ramadhan. Kita serupa…. Cuma kali ini, saya terkenangkan masakan mak yang sangat ringkas, kosong tapi menusuk jiwa. Hampir 40 tahun lamanya Mihun Goreng ini masih sama rasanya dan masih dihidangkan apabila saya balik ke kampung. Namun bukan mak lagi yang masak tetapi adik-beradik yang lain.


Bagi orang lain, mihun goreng seperti ini, tiada maknanya. Maklumlah, mihun kosong… Bayangkanlah 40 tahun lalu, bahan apa yang mak ada didapur? Dikedai pun baru dipasarkan kicap cap tiga ayam. Apa-apa hal pun, jom kita belek dulu resepi dan cara membuatnya. Nanti saya cerita lagi apa keistimewaan mihun goreng yang kosong ni.



Bahan-bahan untuk Mihun Goreng Kampung
400g Mihun Kering
20 tangkai Cili Kering
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
5 ekor Ikan Bilis.
1 bj Telur
¼ cwn Minyak Masak
2 cmt Garam
2 cmb Gula Pasir
Sedikit air.



Cara Membuat Mihun Goreng Kampung
  1. Rendam mihun dalam air biasa sekurang-kurangnya 1 jam. Cili kering juga direndam berasingan.
  2. Kisar cili kering, bawang besar, bawang putih dan ikan bilis sehingga halus dengan sedikit air.
  3. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan-bahan kisar sehingga garing.
  4. Masukkan telur, dan gaul rata.
  5. Perasakan dengan garam dan gula.
  6. Tuskan mihun yang direndam dan masukkan kedalam tumisan. Gaul rata.
  7. Masukkan ½ cwn air dan gaul sehingga perencah sebati dan mi menjadi lembut.
  8. Hidangkan apabila mihun telah cukup lembut dan kering.



Tip Masakan Komersial
  1. Zaman dulu, semua bahan yang digunakan untuk masakan sangat terhad. Sekali-sekala ke bandar, boleh la beli sikit. Jadi gunakan sikit-sikit. Kalau habis, entah bila boleh beli lagi. Ikan bilis pun kena kira berapa ekor untuk sebungkus mihun. Kalau ayam bertelur, bolehlah dimasukkan dalam masakan. Kalau tak ada, itupun dah cukup. 
  2. Zaman tiada peti ais dikampung saya, semua barang kena simpan dalam bentuk kering atau jeruk. Jadi sayur mesti tanam sendiri.  Mujur ada ramai petani yang menanam sayur sekitar kampong. Kedai runcit tolong pasarkan. Sekarang ni, sayur dari seluruh dunia pun boleh kita beli.
  3. Seperti biasa, air tangan mak memang sedap. Keikhlasannya memasak untuk keluarga menjadikan masakannya terbayang-bayang diingatan. Selain itu, mak juga menggunakan minyak masak yang telah digunakan untuk menggoreng ayam atau ikan. Minyak ini dipanggil jelantah. Setelah ditapis dan dimendakkan, ia boleh digunakan untuk pelbagai masakan lain. Bukan sahaja jimat, malah minyak ini sudah sedia berperisa dan akan menyedapkan masakan. 
  4. Minyak masak sebaiknya tidak digunakan banyak kali. Oleh itu, setelah minyak digunakan untuk menggoreng dua atau tiga kali, eloklah digunakan dalam masakan pula. Kalau lebih daripada itu, minyak akan berubah warna menjadi gelap. Minyak seperti ini patutlah dibuang. Jadi sebelum ia berubah warna, gunakan ia untuk masakan seperti rendang, sambal tumis dan sebagainya dimana minyak masak dimasukkan dalam masakan.
  5. Tekstur mihun goreng yang baik adalah mihun goreng yang tidak terlalu lembik dan tidak terlalu keras. Senang cerita, mihun yang baik kelihatan gebu. Kalau ditekan dengan sudip, ia akan menganjal semula. Mihun yang lembik, akan kelihatan melekat sesama sendiri dan di tepi kuali. Jika sejuk, ia akan padat macam nasi impit. Kalau mihun yang keras pula, perisa dari perencah tidak akan menyerap kedalam mihun.
  6. Saya paling suka mihun yang dah sejuk dan juga kerak yang terdapat di dasar kuali. Kadang-kadang memang sengaja dihanguskan sedikit supa tebal keraknya. Ketika panas, kerak ini sukar ditanggalkan. Jadi saya akan biarkan mi sejuk dahulu didalam kuali dan bila kerak menjadi lembut dan mudah ditanggalkan, baru saya makan. Harap jangan buat macam saya. Chef yang baik, tak de hangus-hangus ni...
  7. Sekarang ni dah banyak produk yang memudahkan dipasaran. Ada pelbagai jenis sos, perisa, stok, perencah dan juga mudah mendapatkan sumber protin untuk ditambahkan kepada mihun goreng. Tambahkanlah apa-apa yang baik untuk anda untuk menjadikan mihun goreng lebih sedap. Bagaimanapun, mihun tu sekarang dah jadi mihun goreng millenium!