Dulu selalu kita dengar istilah "makan mi segera pada hujung bulan" yang bermaksud apabila kesempitan wang terutama sebelum gaji keluar, maka mi segera lah yang menjadi santapan seharian kerana harganya yang murah. Sekarang memang jarang sekali saya dengar istilah sebegini. Sebab utamanya ialah kerana mi segera bukan lagi boleh dikategorikan sebagai makanan murah. Dengan harganya yang semakin tinggi, kuantitinya yang semakin kecil, kandungan bahan perasa, pewarna dan pengawet yang tidak terkawal, mi segera bolehlah dikategorikan sebagai makanan ringan yang tidak diperlukan dalam diet seharian kita.

Walaubagaimanapun, anak saya sangat menggemari mi segera. Mujurlah saya amat mementingkan pemakanan kelurga saya. Saya akan memasak sendiri segala masakan kegemaran keluarga saya supaya saya dapat mengawal diet mereka. Saya tidak menggunakan perasa, pewarna ataupun pengawet tiruan dalam setiap masakan saya. Saya juga mengawal garam dan gula yang saya gunakan.

Kos dalam menyediakan masakan untuk keluarga saya juga amat penting. Oleh kerana saya tidak menggunakan bahan-bahan penambah perisa, maka saya perlu mereka hidangan yang mempunyai rasa setanding dengan hidangan yang dijual. Siapa kata tanpa MSG masakan kita tak mungkin sedap? Bukan itu saja. Kosnya akan jauh berkurang sehinggakan jika kita membuka gerai atau restoran, keuntungannya akan berlipat kali ganda. Masa penyediaannya juga perlu dikurangkan kerana masa juga dikira sebagai kos. Inilah yang dinamakan resepi komersial dimana hidangan yang dijual di restoran-restoran dan gerai kini boleh anda sediakan sendiri dirumah.

Dibawah ini, resepi mi telur sup kegemaran anak saya yang menepati ciri-ciri resepi komersial.

Bahan-bahan untuk mi telur
3 biji telur
Tepung gandum 400-500g
Garam

Bahan-bahan untuk sup
200g tulang ayam/lembu
2L air
2 kuntum bunga cengkih
1 inci kulit kayu manis
2 bj buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih dihiris
1 inci halia dihiris
Sedikit lada hitam ditumbuk
2 tangkai sawi
Sedikit minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa
daun sup

Cara penyediaan sup
Rebuskan tulang bersama halia. Biarkan merenih sehingga hilang hanyir (kira-kira 2 jam)
Didalam kuali yang lain, panaskan minyak dan tumiskan bunga cengkih, kulit kayu manis, buah pelaga danbunga lawang sehingga wangi. masukkan bawang dan bawang putih. Goreng sehingga kekuningan. Kemudian pindahkan semuanya kedalam rebusan tulang.
Masukkan bahan-bahan yang lain diikuti dengan sawi dan daun sup

Cara penyediaan mi telur
Pecahkan telur dan masukkan garam secukupnya. Pukul sedikit hingga sebati.
Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil diramas-ramas sehingga menjadi serbuk roti. Tambah lagi tepung supaya ia betul-betul kering. Barulah diuli sehingga menjadi doh yang kering dan keras tetapi masih boleh di gelek leper.
Dengan menggunakan mesin membuat mi, gelek doh tadi sehingga leper. Sekiranya masih belum cukup keras, taburkan tepung, lipat dan gelek lagi sehingga kita berpuas hati dengan teksturnya. Ini penting untuk memastikan mi yang terhasil cukup kenyal.
Gelek sehingga mendapat ketebalan yang dikehendaki dan potong menjadi mi. Jika adunan anda cukup keras seperti yang dikehendaki, mi yang telah dipotong tidak akan melekat semula walaupun tidak ditabur tepung.
Rebus dalam air mendidih sehingga masak. Jangan rebus terlalu lama (lebih kurang 3 minit)
Setelah masak tapis mi dan sejukkan dengan cepat dengan cara membilas mi tadi dalam air sejuk. Kaedah ini terbukti menjadikan mi kenyal dan sedap.
Bolehlah dihidangkan dengan sup tadi. hiaskan dengan daun sup dan bawang goreng.

TIP-TIP KOMERSIAL
Mi telur adalah dari kategori masakan cina. Sebaiknya sup juga mempunyai citarasa cina. Kaedah paling sesuai ialah dengan mencampurkan hirisan cendawan bunga yang telah direndam, sedikit kicap dan sos tiram dalam sup. Tidak perlu menggunakan bunga lawang.

Anda boleh mempelbagaikan mi telur dengan mencampurkan bahan semulajadi seperti bayam, carrot dan lain-lain. Hanya perlu kisar bayam atau carrot dengan telur dan garam sebelum digaulkan dengan tepung sehingga menjadi doh. Cara ini lebih baik dari mencampurkan bahan perasa dan pewarna dalam mi.

Boleh juga menggunakan tawas atau polyposfat untuk mendapatkan mi yang kenyal. Kaedahnya campurkan 1 cmt untuk setiap 1kg tepung. Kurangkan telur dan gantikan dengan air. Kaedah ini memang jimat. ia digunakan dalam kebanyakan mi yang terdapat di pasaran. Sebaiknya gunakan cara yang berkhasiat.

Anda juga boleh mencampurkan sodium benzoat sebagai pengawet. Jangan campur lebih daripada 1%. lebih baik kalau tak campur langsung. Tetapi jika ingin menyimpan dalam tempoh yang lama, gaulkan mi yang belum direbus dengan tepung dan simpan dalam peti ais. Mi yang telah direbus juga boleh digaulkan dengan sedikit minyak sebelum disimpan dalam peti ais.

Pelbagaikan jenis hidangan dengan menyusun beberapa ekor udang besar didalam mangkuk untuk mi udang, Hirisan ayam atau daging.

Ramai menggemari masakan pedas, jadi hidangkan bersama sambal kicap atau lada jeruk.