Masih ramai ibubapa yang beranggapan aliran kemahiran dan vokasional hanya untuk pelajar-pelajar yang lemah. Bila mendapati percubaan PMR anak kurang membanggakan je mula la tanya saya macam-macam mengenai aliran kemahiran dan vokasional sedangkan sebelum ni tak pernah pandangpun aliran ini. Bila anak dapat banyak A, mula la berangan-angan nak masukkan anak ke asrama penuh atau sekolah teknik. Saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini kerana ada beberapa faktor lain yang sangat penting sebelum anda memilih aliran kemahiran dan vokasional untuk anak anda.

Aliran kemahiran dan vokasional adalah khusus untuk para pelajar yang lebih berminat dalam pendidikan yang menjurus kepada alam pekerjaan. Ini tidak bermakna jika anak anda tidak meminati aliran akademik, anda perlu memohon aliran kemahiran dan vokasional. Semuanya bergantung kepada minat yang anak anda tunjukkan. Sebagai ibubapa, anda seharusnya tahu apa yang anak anda suka. Beberapa pelajar saya mendapat semua A dalam PMR tetapi memilih aliran vokasional kerana minatnya yang mendalam dalam bidang yang dipilih. Mereka tahu halatuju selepas tamat sekolah dan kebanyakkannya ingin menceburi bidang perniagaan seperti makanan, fesyen dan asuhan kanak-kanak. Mereka ingin menjadi usahawan restoran 5 bintang, pereka fesyen antarabangsa atau memiliki rangkaian institut diseluruh negara yang mengajar individu menjadi pendidik kana-kanak. Mereka bukan sekadar ingin membuka warung, butik atau taska semata-mata. Dan anda adalah ibubapa yang patut memberi galakan dan bantuan kepada pelajar-pelajar yang bercita-cita tinggi ini.

Pernah juga berlaku seorang pelajar saya yang cemerlang dalam akademik seolah-olah terpaksa mengambil bidang kemahiran semata-mata kerana ibubapanya seorang usahawan makanan. Ini menyebabkan subjek vokasional yang diambil gagal mendapat gred yang dikehendaki sedangkan subjek akademik pula menurun. Ini suatu yang merugikan. Apa gunanya mempelajari kemahiran dan vokasional sedangkan mereka tadak mahu menggunakan ilmu yang diperolehi. Apa gunanya belajar memasak sedangkan mereka ingin bekerja disektor pembuatan.

Oleh itu, mulai hari ini, mulalah mengatur pendidikan anak anda. Selidiki apa yang dia minati dan apa yang tidak. Begitu juga bidang yang harus dipilih. Belajar memasak tak semestinya untuk membuka restoran. Mungkin untuk menjadi pengeksport makanan sejukbeku seluruh dunia. Belajar menjahit tak semestinya untuk menjadi pereka fesyen. Mungkin juga untuk menjadi pengeluar pakaian berjenama sendiri. Maklumat sebegini, andalah yang sepatutnya menceritakan kepada anak anda. Pilihlah bidang yang berpotensi dan mendapat permintaan yang tinggi terutamanya bidang yang berkaitan dengan keperluan asas. Tak perlu saya terangkan apakah keperluan asas kerana anda sendiri tahu apa yang anda perlukan.

Masih belum ramai yang memohon kemasukkan ke aliran kemahiran dan vokasional. Mungkin menunggu keputusan PMR atau memang suka memohon disaat akhir. Mohon awal, lebih baik. Anda ada banyak masa menyelami aliran-aliran yang lain. Jangan jadikan aliran kemahiran dan vokasional sebagai pilihan terakhir anda.

Klik disini untuk maklumat Permohonan Online Sekolah Teknik / Vokasional dan Kemahiran Untuk Tingkatan 4 Kemasukkan 2012