Memerhatikan muka anak sewaktu makan adalah sesuatu yang selalu saya lakukan. Kalau menu istimewa, tergambar keceriaan diwajahnya. Saya sangat senang melihat anak gembira menikmati hidangan yang saya sediakan. Mungkin anda pun begitu juga. Namun, jika anda bandingkan wajahnya makan dirumah dan makan di luar, pasti ada perbezaannya. Anak lebih berselera ketika makan di kedai. Kalau ditanya, mereka yang jujur akan mengatakan sebahagian restoran yang dikunjungi masak lebih sedap. Jadi kali ini, saya ingin membincangkan mengapa makanan disitu lebih sedap.




Saya tak mahu la mengatakan perkara yang sememangnya kita semua sedia maklum. Memang tukang masak mereka berpengalaman dan berkemahiran. Setiap hari masak benda yang sama. Begitu juga bahan-bahan yang mereka gunakan juga tak perlu dibincangkan. Mesti hanya bahan-bahan segar dan terpilih sahaja. Tetapi sesuatu yang perlu kita tahu, setiap sos dan bahan-bahan segera yang mereka gunakan hampir semuanya mengandungi MSG. Ini adalah perkara pertama yang menjadikan makanan mereka lebih sedap. Sos tiram, sos cili, sos ikan, seasoning, segala paste mengandungi MSG. Kemudian ketika masak, MSG ditambah lagi menjadikan berlipat kali ganda lah kandungan MSG dalam masakan mereka.



Seterusnya, perkara yang menyedapkan hidangan mereka adalah penggunaan stok rebusan. Tak ramai ibu yang menyediakan stok rebusan untuk masak dirumah namun setiap restoran mempunyai sebuah periuk besar berisi stok rebusan. Usahawan yang baik akan menggunakan bahan yang baik untuk stok rebusan. Ada juga yang menganggap ia hanya stok rebusan, tak perlu berbelanja besar untuk ini. Melalui lawatan saya ke beberapa restoran, stok rebusan mereka dibuat menggunakan sisa-sisa ayam yang mereka perolehi dari pasar yang menjual ayam segar. Penjual ayam memang menyimpan bahagian-bahagian ayam ini terutamanya lemak, kulit kerana ia mendapat permintaan dari usahawan makanan. Bahagian-bahagian ini dibersihkan dan dibungkus menggunakan kain maslin hingga menjadi sebesar kobis kemudian direbus beberapa jam dan mungkin juga sepanjang masa operasi perniagaan.



Stok rebusan ini akan menjadi lebih sedap apabila digunakan untuk merebus bahan-bahan jualan lain seperti daging untuk daging merah, ekor lembu dan sebagainya untuk sup. Ini menjadikan stok rebusan ini cukup pekat dan berperisa. Kemudian barulah stok rebusan ini ditambah herba dan sayuran mengikut kategori restoran. Restoran masakan thai lain stok rebusannya, restoran masakan cina lain stok rebusannya. Stok rebusan ini digunakan dalam semua masakan sama ada berkuah atau tidak. Buat ayam goreng kunyit pun menggunakan stok rebusan ini sewaktu menggaulkan ayam dengan serbuk kunyit.



Begitu juga dengan minyak masak yang digunakan. Minyak masak yang telah digunakan untuk ayam goreng kunyit akan digunakan untuk nasi goreng. Ini menjadikan nasi goreng lebih sedap dan tak sama jika anda menggoreng menggunakan minyak baru. Minyak ayam goreng malam ini akan ditapis dan digunakan untuk sambal tumis esok. Tidak mustahil sambal tumis di restoran nasi lemak tu sedap sangat. Jus-jus ayam yang digoreng serta rempah-rempah ayam goreng akan sebati dengan minyak masak. Anda tak akan dapat masak sambal tumis sedap macam ni di rumah.

Walaupun hidangan di restoran lebih sedap, saya tetap berpendapat masak sendiri jauh lebih baik dari makan di kedai. Penggunaan bahan-bahan seperti yang saya nyatakan tadi, kurang sihat. Ada restoran yang saya kunjungi, langsung tak pernah mencuci periuk stok rebusan. Setiap hari bahan lama dicedok keluar, bahan baru dimasukkan, air ditambah dan direbus lagi. Tengok rupa periuk pun dah tak macam periuk. Stok rebusan sepatutnya di buat segar setiap hari. Minyak masak juga sepatutnya dihadkan bilangan penggunaannya. Lepas goreng ayam dua atau tiga kali, terus simpan untuk sambal tumis. Bukannya pakai sampai habis berniaga baru simpan untuk sambal tumis. Warna pun dan hitam legam. Tak perlu la saya ceritakan akibat makan minyak seperti ini. Ini pun dah cukup panjang artikel saya. Apa yang penting, anda sebagai ibu yang menyediakan masakan untuk keluarga tak perlu risau jika masakan kurang sedap atau tak boleh masak sesedap di restoran. Masakan anda tetap yang terbaik untuk keluarga anda.