Jika anda ingin membuka gerai atau restoran, anda perlu ada produk yang unik yang mampu membuat pelanggan datang dan datang lagi. Seperti yang pernah saya ceritakan dulu, pelanggan amat mementingkan produk yang sedap, murah dan selamat. Semua gerai dan restoran pasti seboleh-bolehnya menyediakan hidangan yang sebegitu. Oleh itu, untuk membezakan produk anda dengan produk usahawan lain, anda perlu menghidangkan sesuatu yang lain dari yang lain. Seterusnya anda perlu menghidangkan makanan yang menjadi kegemaran ramai terutama pelanggan yang berada di sekitar kawasan perniagaan anda. Orang kata, tak sah gerai dan restoran tanpa nasi lemak dan roti canai. Dan ketiga, minuman yang paling popular di Malaysia iaitu teh tarik anda perlu mantap dan mesti mempunyai rahsia yang tersendiri.

Keunikkan membuat teh tarik sebenarnya terpulang kepada anda. Anda yang menentukan bagaimana teh tarik yang unik dan menguntungkan. Kalau Cik Suri JP, dia lebih suka menambahkan 1 cmt serbuk milo dalam teh tariknya. Ada juga kedai mamak yang menambahkan sedikit susu cair agar tehnya lebih lemak. Dan yang paling banyak dilakukan oleh usahawan adalah mencampurkan beberapa jenis teh untuk menjadikan teh mereka istimewa dan lebih sedap. Menyedari kepentingan teh tarik, ramai pengusaha amat mengambil berat dalam pemilihan serbuk teh dan susu. Kalau dulu, terdapat serbuk teh yang mengandungi pewarna dan perasa yang berlebihan. Serbuk teh ini memang sangat sedap. Saya pun menggilainya dahulu sehinggalah ia diharamkan kerajaan. Bagaimanapun syarikat pengeluar teh sentiasa memperbaiki produk mereka tanpa membahayakan pengguna. Jadi, pilihlah teh yang khusus untuk teh tarik manakala untuk susu, anda boleh pilih creamer yang paling lemak. Biasanya saya menggunakan teh cap masjid atau teh panglima sahaja. Manakala serbuk teh tarik Boh pula lebih kuat rasanya tetapi kurang warna tetapi mempunyai bau yang lebih sedap.

Seorang usahawan pernah bercerita kepada saya, teh tariknya menjadi tarikan utama pelanggan ke gerainya. Rahsianya, dia hanya menambahkan beberapa hirisan daun pandan dalam rendaman serbuk tehnya. Sebenarnya perbezaan rasa dan baunya hanya sedikit sahaja kerana hanya sedikit sahaja hirisan daun pandan yang gunakan dalam setiap rendaman. Ini menjadikan pelanggan beliau tidak dapat mengagak bahan yang digunakan. Rata-rata mengatakan bau dan rasa teh tarik di gerai beliau tak sama dengan gerai lain tetapi tak tahu apa yang membezakannya. Inilah keunikkan yang perlu anda cari. Cuba ikhtiarkan cara lain agar teh tarik anda juga unik tetapi pastikan hanya menggunakan bahan-bahan asli dan selamat untuk diminum.