Anda bertuah jika dapat membangunkan perniagaan bersama keluarga anda. Memang banyak kebaikkannya kerana anda dapat membantu ahli keluarga anda. Kalau bukan ahli keluarga sendiri, siapa lagi yang sudi membantu ye tak? Daripada anda menggajikan pekerja yang kurang anda ketahui latar belakangnya, entahkan jujur entahkan tidak, lebih baik anda gajikan adik, abang, kakak atau andak anda. Namun begitu, ada beberapa perkara yang perlu anda ambil kira dalam menggajikan ahli keluarga anda dari segi anda sebagai tuan punya syarikat.

Sebagai tauke, anda tidak seharusnya mengamalkan sikap berat sebelah diantara ahli keluarga anda dan pekerja yang lain. Ini akan mengakibatkan rasa ketidakpuasan hati kepada pekerja yang lain. Ahli keluarga yang anda gajikan mungkin akan besar kepala, mengabaikan tanggungjawab dan menyebabkan kerugian kepada syarikat. Walaupun anda sedar ahli keluarga anda itu seorang yang baik, tapi sikap mengutamakan ahli keluarga tidak perlu ditunjukkan kepada pekerja lain.
Banyak kes syarikat yang gulung tikar disebabkan sikap ahli keluarga yang digajikan, tidak bersungguh-sungguh untuk bekerja. Anda sebagai tuan punya syarikat mesti mengambil langkah tegas supaya anda dihormati sebagai pemilik syarikat bukan oleh ahli keluarga anda sahaja malah oleh semua pekerja. Menggajikan ahli keluarga menjadikan anda dan ahli keluarga anda lebih seronok untuk bekerja. Jika seluruh pekerja dianggap sebagai ahli keluarga, maka lebih meriahlah syarikat anda. Bekerja menjadi lebih santai namun perlu ingat batas-batasnya.

Menggajikan ahli keluarga, membolehkan anda menerapkan nilai sense of belonging dimana sikap ini membolhkan ahli keluarga anda bekerja seolah-olah syarikat itu dia yang punya. Mereka akan turut risau sekiranya syarikat ditimpa masalah. Mereka juga akan faham jika syarikat tak dapat memberikan imbuhan yang lebih baik. Bagaimanapun tak semua ahli keluarga akan bersikap sebegini. Malah mungkin juga pekerja anda yang tiada ikatan kekeluargaan dengan anda akan bersikap lebih baik daripada keluarga anda sendiri. Orang seperti inilah yang perlu anda jaga dan utamakan. Orang yang sanggup berkorban untuk syarikat memang sukar dicari tapi jika anda berjumpa dengan individu seperti ini, jangan pula anda ambil kesempatan. Anda mungkin tak akan berjumpa orang seperti ini lagi.

Tak kira besar atau kecil perniagaan yang anda bangunkan, tak kira pekerja anda dari kalangan ahli kerluarga atau bukan, paling penting anda mesti sentiasa dihormati sebagai pemilik syarikat. Oleh itu mulai membina imej yang baik untuk diri anda sendiri. Sesiapa sahaja akan rasa segan ketika berhadapan dengan anda. Ingatlah, membantu keluarga anda adalah baik tetapi ada masanya, membantu orang lain lebih baik lagi.

Mungkin ada fakta-fakta lain yang tak dapat saya kongsikan disini. Mungkin juga saya terlepas pandang. Namun segala pendapat adalah dari diri saya sendiri. Jika anda ada pendapat, pengalaman dan idea yang baik, boleh dikongsikan dalam kotak komen dibawah.

Gambar-gambar diatas adalah gambar kek red velvet yang pernah saya cuba. Saya sedang mencari idea baru supaya kek ini lebih mudah dihasilkan dan lebih gebu sambil mengurangkan kosnya. Begitulah kerja saya. Masak, masak dan masak sampai lebam. Lawa tak kek yang anak saya hiaskan tu? Habis segala-galanya dia nak susun. hehehehe asyik nak main je.