Apa kata hari ni kita tak payah masak. Kita minum je. Melalui minuman juga kita boleh mendapat nutrien dan vitamin yang diperlukan badan. Minuman seperti jus buah-buahan kaya dengan khasiat. Saya rasa tak perlulah resipi tertentu. Lebih baik saya bercerita mengenai jus dan buah-buahan agar kita lebih memahami mengenainya seterusnya boleh menghasilkan jus mengikut citarasa kita sendiri. Kalau nak tahu tubuh badan anda mendapat khasiat yang cukup atau tidak, boleh cuba aplikasi ini. (Klik)

Buah-buahan yang sesuai untuk dijadikan jus terbahagi kepada 8 jenis yang utama.

Epal – Berbagai warna epal yang biasa kita lihat seperti hijau, merah, kuning atau campuran warna-warna tersebut. Setiap jenis mempunyai ciri-ciri tersendiri. Golden Delicious, Stayman Winesap, Cortland, Honey Crisp, Cameo, Macoun dan Cox Orange Pippin adalah contoh epal yang sangat sesuai untuk dijadikan jus.

Beri – Beri adalah buah-buahan yang sangat mudah rosak kerana sifatnya yang cepat masak. Biasanya beri dipetik sebelum ia betul-betul masak dan akan masak sempurna sewaktu dipasarkan. Menggunakan beri yang segar sangat penting dalam membuta jus. Contoh beri adalah, strawberi, bluberi, cranberi dan sebagainya.

Citrus – Buah ini adalah sangat berjus dan baunya harum kerana terdapat minyak yang beraroma pada kulitnya. Contoh buah ini adalah limau, oren, lemon, grapefruit dan sebagainya.

Anggur – Pada dasarnya, anggur juga termasuk dalam kategori beri tetapi kerana kepelbagaian jenisnya serta kegunaannya jadi ia diasingkan dalam kumpulannya. Berbagai jenis anggur yang kita ketahui sama ada berbiji atau tidak, semuanya sesuai dijadikan jus. Warnanya yang cantik seperti merah, hijau, ungu yang terang, menjadi tarikan utama selain rasanya yang sedap.


Melon – Orang melayu memanggilnya sebagai tembikai walaupun warna dan rupanya tak sama. Tetapi orang putih membahagikan kepada 2 jenis lagi iaitu watermelon dan muskmelon. Jenis watermelon ni yang paling popular untuk dibuat jus sama ada kuning atau merah. Muskmelon pula contohnya tembikai susu, sun melon, rock melon dan sebagainya. Jenis-jenis sayuran seperti timun juga dalam kategori melon.

Pear – Sama seperti melon, kita mengenali pear satu atau dua jenis sahaja tetapi sebenarnya terdapat berbagai jenis pear yang berbeza warna, bentuknya dan rasanya. Pear juga mudah masak setelah dipetik dan lebam setelah dipotong.

Stone Fruit – Buah-buahan yang mempunyai satu biji yang besar ditengah-tengahnya dipanggil stone fruit. Buah-buah ini contohnya peach, apricots, plum, dan ceri. Ciri lain buah ini adalah isi yang halus dan licin serta mudah rosak dan lebam. Oleh itu ia perlu diuruskan dengan baik.

Lain-lain – Buah-buah lain yang tak sesuai dimasukkan dalam kategori diatas semuanya dimasukkan dalam kategori ini. Contoh buah-buah dalam kategori ini yang sesuai dijadikan jus adalah nenas, avocado, pisang, kiwi dan jambu batu.


Setiap buah-buahan boleh dijadikan jus menggunakan kaedah tertentu.Buah seperti lemon dan oren sesuai menggunakan squeezer. Tembikai lebih sesuai menggunakan pengisar. Paling baik jika menggunakan juicer kerana ia dapat mengasingkan jus dari hampasnya dengan baik. Peniaga pasar malam menggunakan pengisar yang diubahsuai supaya boleh menggunakan arus terus dari enjin atau bateri. Biasanya buah yang mendapat sambutan adalah tembikai. Seorang kawan saya berniaga air tembikai di pasar malam hanya membawa peralatan dan air gula sahaja. Tembikai dan ais dibeli dipasar malam. Sekali beli 3 biji. Kalau habis beli lagi. Dia kisar tembikai tanpa menggunakan air. Lepas kisar, terus tuang dalam bekas berisi ais. Itu sebabnya air tembikai dia mendapat sambutan. Jusnya pekat dan segar. Agak mudah berniaga seperti ini. Tak perlu membuat persediaan di rumah. Kenapa saya tau? Sebab saya berniaga yong tahu dibelah gerai yang menjual tembikai dipasar malam tu.