Medan Ikan Bakar Sabak Awor Muar
Posted by Norasikin Basri on Tuesday, March 22, 2011
Under: Sembang-sembang dan tip masakan

Minggu lepas ketika dikampung, saya merancang untuk meraikan hari bertuah saya dengan menjamu ahli keluarga saya. Biasanya saya akan memasak sendiri tetapi kali ini saya berhajat untuk makan di suatu tempat yang sedikit happening. Akhirnya kami semua menuju ke Medan Ikan Bakar Sabak Awor yang terletak di timur laut Jalan Bakariah. Medan ikan bakar ini dibina oleh Majlis Perbandaran Muar yang menggantikan gerai di perkampungan nelayan disitu. Memang tempat ini sedikit terpencil berbanding di Umbai yang terletak kira-kira 45 minit dari tempat itu, namun tetap meriah dengan pengunjung. Pada waktu malam, keadaan diluar memang sangat gelap sehinggakan tak dapat menikmati pemandangan pinggir Sungai Muar. Kalau waktu siang, bolehlah memerhati dari menara tinjau yang terdapat disitu.

Tak perlu la tanya apa yang kami makan. Makanan belum habis hidang, kami dah mula makan. Mana tahan tengok makanan yang menyelerakan. Tak sempat langsung nak ambil gambar. Segala jenis makanan laut sangat segar dan anda boleh memilih sendiri ikan, udang, sotong, ketam dan lain-lain. Kemudian barulah makanan laut pilihan anda itu ditimbang dan dimasak atas permintaan anda. Kalau bandar, biasanya ikan dan lain-lain telah dibersihkan terlebih dahulu. Isi perut semua dah dibuang untuk mengelakkan ikan menjadi busuk tetapi disini, ikan masih dalam keadaan asal sama seperti ketika dinaikkan dari laut, membuktikan ia didapati segar setiap hari.
Lebih baik saya terus kepada tujuan asal entri ini ditulis. Saya ingin bercerita mengenai potensi berniaga di medan selera yang kebanyakkannya tidak disedari oleh usahawan makanan. Memang sukar hendak mencari tempat berniaga apabila berada di bandar. Jika berniaga sesuka hati, tak sampai sebulan pihak majlis dah datang mengarahkan gerai diroboh. Kalau ada tanah sendiri atau tanah untuk disewa, mudahlah sikit. Nak sewa rumah kedai memerlukan kos yang tinggi. Jadi menyewa di medan selera adalah alternatif yang baik jika kena caranya.
Medan selera menempatkan banyak gerai kecil menyebabkan peniaga terpaksa berkongsi pelanggan dan bersaing sesama mereka. Adalah lebih baik jika anda dapat mengurangkan persaingan dengan menjual produk yang berkualiti seperti menggunakan bahan-bahan yang segar, perkhidmatan yang lebih baik atau jual produk yang belum ada dijual di medan selera tersebut. Jika anda dapati gerai disebelah dipenuhi pelanggan sedangkan gerai anda lengang, cuba kaji apa yang kurang dengan gerai anda. Jangan pula anda tuduh dia menggunakan ilmu hitam sedangkan pada dasarnya perkhidmatan dan produk anda memang tak setanding dengan dia.

In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: medan ikan bakar sabak awor muar tempat makan menarik murah happening jimat sedap berbaloi
blog comments powered by Disqus



