Dah lama tak ada entri mengenai dessert atau manisan. Suatu ketika manisan seperti butiran buah delima begini memang popular. Memang enak dihidangkan sejuk dengan kuahnya yang lemak manis. Kini manisan begini telah diberi nafas baru. Dihidangkan dengan kuah yang pekat dan dihidang dengan cara yang kreatif dan menarik. Barulah berselera nak menikmatinya. Anda boleh cuba perbaiki segala hidangan yang terdapat digerai anda dan cuba fikirkan kaedah lebih baik terutama dari segi persembahan. Dengan sedikit pengubahsuaian, hidangan yang sama kelihatan lebih lazat. Takkan lima enam tahun berniaga, rupa hidangan anda masih macam tu juga...


Bahan-bahan untuk Manisan Sengkuang Cina dengan Nangka

300g Sengkuang Cina
1 cmt Pewarna Merah
250g Gula Pasir
250g Air
3 cmb Tepung Jagung
200g Nangka Masak
Air untuk merebus

Bahan untuk Kuah Manisan Sengkuang Cina dengan Nangka
500g Santan dari sebiji kelapa
50g Tepung Beras
1 cmt Garam


Cara membuat Manisan Sengkuang Cina dengan Nangka
  1. Masak air dan gula untuk membuat sirap. Sejukkan dan ketepikan.
  2. Kupas kulit sengkuang cina dan potong dadu kecil kira-kira 1/2 cm.
  3. Gaulkan sengkuang yang telah dipotong dengan pewarna merah. Jika perlu gunakan 1 cwn air untuk merendam sengkuang cina bersama pewarna sehingga warna merah meresap sampai kebahagian dalam sengkuang cina.
  4. Setelah pewarna meresap dengan baik, tuskan sengkuang cina dan gaulkan dengan tepung jagung. Anda boleh memasukkan sengkuang cina dan tepung jagung dalam sebuah bekas bertutup dan goncangkan supaya tepung jagung dapat menyaluti keseluruhan sengkuang cina. Pisahkan sengkuang cina yang melekat sesama mereka dan tambah tepung jagung jika perlu.
  5. Panaskan air untuk merebus sehingga mendidih dan rebus sengkuang cina sehingga ia timbul dipermukaan air.
  6. Angkat dan tuskan sebentar kemudian rendam dalam air gula yang telah sejuk tadi.
  7. Buah nangka dipotong memanjang setebal 1/2 cm dan direndam juga didalam air gula. Ketepikan.
  8. Untuk membuat kuahnya pula, campurkan semua bahan kuah dan kacau sehingga licin dan tidak bergentel. Tapiskan jika perlu.
  9. Masak diatas api yang kecil perlahan-lahan sehingga memekat. Pastikan sentiasa dikacau dan tidak bergentel. Elakkan dari mendidih.
  10. Setelah kelihatan wapnya naik, bolehlah diangkat dan disejukkan.
  11. Hidangkan didalam mangkuk dessert berselang-seli diantara sengkuang cina, nangka dan kuah. Paling sesuai dihidangkan sejuk.


Tip Masakan Komersial
  1. Cuba anda perhatikan makanan yang dihidangkan di hotel-hotel dan restoran-restoran yang berprestij, anda akan dapati makanan mereka dihidang dengan menarik hinggakan jika dikira kos untuk hiasan melebihi dari kos makanan itu sendiri. Hiasan begini mampu menambah nilai makanan itu sendiri. Tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan harga makanan jika persembahan yang kita tunjukkan melebihi dari nilai makanan itu sendiri.
  2. Selama ini, banyak hidangan-hidangan dan kuih-muih tradisional yang dipandang sepi oleh masyarakat kita sendiri. Hiasan yang menarik serta sentuhan kreatif adalah jawapannya disamping dapat mengekalkan keasliannya. Pernahkan anda terfikir kuih bahulu akan menjadi desert yang boleh dipandang tinggi sekiranya dijadikan punch buah-buahan? Jangan tunggu sehingga chef bangsa asing yang memulakan dahulu. Sekarang ni, kain ciptaan kita seperti batik, songket semuanya mereka dah kebas menjadi baju, beg atau kasut ciptaan mereka.
  3. Ingatlah pesan saya, walaupun sesuatu hidangan itu sebenarnya telahpun siap sedia dimakan tetapi dengan kombinasi yang betul kita masih dapat meningkatkan tambah nilai sesuatu produk. Seperti yang pernah saya katakan dulu, daripada menjual pisang, lebih baik menjual kerepek pisang. Kini saya tambah lagi, daripada menjual kerepek pisang, lebih baik jual kerepek pisang berperisa.