27 Mei 2010 genap 4 tahun usia anak kesayangan saya. Tidak sangka pejam celik pejam celik Kamarul Ahza dah semakin besar sehingga basikal kecil hadiah dari atuknya sewaktu dia berusia 1 tahun telah hampir reput. Malahan rimnya patah sewaktu dia bermain beberapa minggu lepas. Sejak itu hampir setiap hari dia minta basikal baru. Akhirnya pada hari jadinya pada tahun ini saya mengambil keputusan untuk membelikannya basikal baru. Sengaja saya membelikan basikal yang lebih besar dengan harapan basikal itu dapat bertahan lebih lama mungkin sehingga dia berumur 10 tahun. Saya juga terpaksa menambah roda sokongan di belakang kerana dia belum begitu pandai menunggang basikal.

Malamnya pula sekeluarga keluar makan malam di sebuah restoran yang jauh sedikit dan jarang kami pergi untuk mendapatkan sedikit kelainan. Seingat saya kali terakhir saya ke restoran ini kira-kira 6 tahun lepas dimana pada masa itu Kamarul Ahza masih belum dilahirkan. Jadi selepas maghrib kami sekeluargapun bertolak ke restoran yang terletak di Kg Pasir Putih. Walaupun terjebak dalam kesesakan lalulintas kerana terlalu banyak kenderaan berpusu-pusu mungkin untuk pulang kekampung sempena cuti Hari Wesak, akhirnya kami sampai juga ke restoran yang dipilih. Kami memesan hidangan istimewa untuk santapan kami. Hidangan yang biasanya kami sediakan sendiri kerana itu resmi kami.

Ketam masak sambal. Hidangan yang pasti kami pesan kerana harganya jauh lebih murah dari tempat lain. Jarang jumpa restoran yang menghidangkan ketam batu/bangkang dengan harga yang murah kerana ia sukar diperolehi. Biasanya ketam yang dijual disini hanyalah ketam bunga yang bersaiz lebih kecil. Pada mulanya saya mengharapkan masakan ketam dengan sambal yang banyak tetapi kami hanya mendapat hidangan ketam dengan sambal yang kering. Sepatutnya sebiji telur dimasukkan sejurus sebelum ketam diangkat untuk menghasilkan kuah yang pekat dan lemak. Sambalnya pula tidak mempunyai rasa ketam kerana ketam telah digoreng terlebih dahulu. Alangkah enaknya sekiranya stok ketam ditambahkan berbanding hanya stok ayam/daging sahaja. Walaubagaimanapun saya sangat berpuas hati dengan kualiti ketam yang segar dengan isi yang kenyal. Kalau ketam bunga yang digunakan, sudah tentu isinya akan mengecut jika digoreng sedemikian. Tinggallah kulitnya yang lompong macam kelongsong.

Kerapu 3 rasa. Saya tidak pasti bagaimana konsep 3 rasa yang cuba ditonjolkan di restoran ini. Sekali rasa macam ikan macam manis tetapi tidak terlalu masam dan tidak terlalu manis. pada pendapat saya bahan yang digunakan hanyalah berbagai jenis sos seperti sos cili, sos tomato, sos ikan, sos tiram bersama bahan-bahan tumis yang biasa. Namun ikan kerapu tetap lazat kerana rasanya yang garing dan rangup. Saya juga memesan sup sayur kerana Kamarul Ahza sangat menggemari hidangan berasaskan sup dan dia juga menggemari sayur. Biasanya kanak-kanak tidak menggemari sayur tetapi Kamarul Ahza telah diajar menggemari sayur sejak bayi lagi.

Cukuplah hidangan sebanyak itu sahaja untuk kami sekeluarga. Itupun rasa dah sarat sangat perut ni. Selain itu kami memesan ABC dan air lobak karet susu sebagai penghilang dahaga. Manakala Kamarul Ahza setia dengan air kegemarannya iaitu air masak sejuk yang diimport dari rumah.

2 jam kami melepak disitu menikmati cahaya lampu di restoran yang terletak diatas air itu. Harapan kami agar Kamarul Ahza dapat menikmati hidangan lain dari kebiasaannya tidak tercapai apabila dia hanya menikmati sup sayur kegemarannya sahaja. Kalau tau dari awal, tentu kami akan hanya memesan sup sahaja. Untungnya kalau anak suka makan sayur ni. Jimat belanja.