Kalau ditanya pada kebanyakan orang bujang, tentulah makan di luar. Bukan sebab mereka banyak duit. Bukan juga sebab mereka terlalu gemar masakan yang dijual di gerai atau restoran. Sebab utama, hanyalah kerana mereka malas masak. Ada juga yang menjawab, tak berbaloi untuk memasak sekiranya hanya untuk hidangan seorang atau berdua. Buang masa je atau makan diluar lebih bervariasi dan cepat.

Kalau dikira dari kos, walaupun memasak untuk seorang, kosnya tetap lebih murah dari beli siap digerai. Tak kira lah apa hidangannya. Sedikit sebanyak pasti jimat, cuma kalau masak untuk lebih ramai orang sangat ketara jimatnya. Oleh itu saya tak berminat nak bercerita mengenai kos buat masa ni.

Sebenarnya saya kurang senang dengan hidangan yang dijual di gerai atau pasaran sekarang. Mereka terlalu mementingkan keuntungan sehingga lupa pada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Mereka seharusnya mementingkan khasiat hidangan yang dijual berbanding rasanya. Tidak wajar menambahkan serbuk perasa berlebihan semata-mata inginkan hidangan mereka menjadi kegemaran ramai sehingga ada yang ketagih untuk menikmatinya. Mereka tidak pernah memikirkan kesan perbuatan mereka kepada pelanggan setia mereka. Serbuk perasa seperti MSG pada amnya bukan menyedapkan makanan. Ia hanya memberikan tindakbalas kepada saraf dan deria  rasa kita yang membawa mesej "sedap" terus kepada otak kita. Saya sudah lama tidak menggunakan MSG. Biarlah saya lebihkan sedikit bahan perencah seperti ikan bilis, bawang dan lain-lain untuk mengekalkan rasa masakan berbanding menambah MSG. Setelah bertahun-tahun saya tidak menggunakan MSG, sekali sekala apabila makan diluar, saya merasa masakan mereka mempunyai rasa pelik yang tidak saya gemari. Mungkin itulah rasa MSG.

Terdapat juga pengusaha gerai dan restoran yang menggunakan bahan yang diimport dan sukar didapati dinegara kita semata-mata untuk memberikan keunikan kepada masakan mereka. Bahan seperti kicap, sos dan lain-lain lagi yang mana jenamanya tidak pernah kita dengar menjadi rahsia kepada hidangan mereka. Jika jenamanyapun kita tak pernah dengar, bagaimana dengan bahan-bahan yang terkandung dalam bahan itu? Adakah ia selamat? Bagaimana status halalnya? Inilah yang menakutkan saya. Suatu ketika dahulu kecoh satu dunia mengenai susu yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat di China mengandungi melamine pada tahap berbahaya sehingga mengakibatkan peminumnya menghidap batu karang. Mangsa tentunya bayi dan kanak-kanak kerana mereka yang paling banyak minum susu. Tapi tahukah anda berapa banyak produk yang berasaskan susu dan mengandungi susu juga turut dicemari? Produk seperti minuman segera, roti, kek, dadih biskut dan lain-lain juga turut dicemari. Pengusaha makanan seluruh dunia banyak mengimport susu dari China untuk menghasilkan peroduk mereka. Semuanya mengatakan produk mereka berkhasiat, rendah lemak, tinggi kalsium, penuh vitamin dan zat galian, hakikatnya semuanya tidak berguna jika terdapat bahan yang tidak selamat dalam produk mereka.

Itulah sebab-sebab utama saya lebih selesa memasak sendiri dirumah berbanding makan diluar atau beli produk siap di pasaraya. Takkan saya nak masak sesuatu yang membahayakan keluarga saya. Sudah pasti saya hanya menghidangkan yang terbaik untuk mereka. Bila dah tahu sesuatu bahan itu berbahaya, sudah tentu saya tidak akan menggunakan lagi. Anda rasa pengusaha makanan masih menggunakan bahan yang berbahaya lagi dalam produk mereka tak? Saya tak mau komen apa-apa la. bahan begini biasanya murah sehingga membuatkan pengusaha makanan terpaksa menggunakan juga bahan itu walaupun tahu ia berbahaya. Saya pula akan terus memasak untuk keluarga kesayangan saya. Anak saya suka makan mi segera, saya buat sendiri. Suami saya suka makan yong tahu saya buat sendiri. Saya suka makan kek dan biskut semuanya saya buat sendiri. Saya akan terus buat sendiri makanan yang terdapat dipasaran seperti mi telur, mi kuning, fish ball, kek swiss roll, roti. Saya juga akan pastikan kualitinya sama dengan yang terdapat dipasaran. Bezanya cuma makanan yang saya masak lebih berkhasiat, halal, dan selamat kerana saya tahu apa yang terkandung dalam setiap masakan saya. Itu lah sebabnya saya lebih cenderung kepada Resepi Masakan Komersial.

Saya harap dapat berkongsikan segala resepi masakan komersial yang saya tahu kepada anda. Insya Allah, saya akan lakukan sedikit demi sedikit. Sekarang ni saya baru dapat siapkan Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial. Sila lah dapatkan resepi komersial ini. Ia percuma.