Ingatkan dah tak ada tempahan kek untuk Hari Raya Aidil Adha tahun ni. Rupa-rupanya masih ada lagi yang berminat nak tempah kek disaat-saat akhir. Saya pun tak faham kenapa nak tempah pada saat akhir. Setelah dikira-kira, saya perlu menyiapkan kek-kek ini  sebelum hari raya. Masa cuma ada 1 hari sahaja. Saya kena buat 4 biji kek kukus buah-buahan saiz kecil, 1 biji kek coklat moist saiz besar dan 2 biji saiz kecil serta 1 biji kek lapis pandan saiz besar. Semua sekali ada 8 biji. Ini bukanlah tempahan yang paling banyak saya terima cuma kekangan masa, peralatan dan bahan-bahan yang tak mencukupi menjadikan ia lebih mencabar. Ada 3 jenis kek yang perlu disiapkan. Kalau semuanya jenis yang sama, mudah sikit. Sekali adun je. Kek kukus buah-buahan kena masak kelama 4 jam pula tu. Dengan peralatan yang terhad saya mula merancang masa saya. Saya tak nak buat tergesa-gesa. Takut banyak tip dan petua yang tertinggal. Kalau tak menjadi, tak pasal-pasal kena buat semula. Kos pasti bertambah.


Susah betul saya nak menghampakan pelanggan. Saya terima juga tempahan walaupun saya rasa masa saya ada sikit sangat. Paling merisaukan saya, peralatan yang saya ada memang tak mencukupi. Saya perlukan banyak acuan kecil untuk kek kukus buah-buahan dan kek coklat moist sedangkan saya Cuma ada 2 acuan sahaja. Bahan-bahan pula tak mencukupi. Perlu ke kedai mencari bahan dahulu. Masalahnya mana ada kedai buka malam-malam macam ni.
Mula-mula sekali, saya sukat bahan-bahan yang saya ada. Syukurlah. Bahan yang saya ada mencukupi untuk membuat 2 kek kukus buah-buahan saiz kecil dan 1 kek coklat moist. Jadi saya terus memulakan kerja mengadun kek kukus buah-buahan saiz kecil dahulu kerana kek ini lambat masak. Sementara menunggu kek dalam kukusan masak, saya mengadun kek coklat moist pula. Sudah pasti kek coklat moist akan masak dahulu. Pukul 1 pagi baru kek kukus buah-buahan masak. Tak apa la. Yang penting kerja berjalan lancar.

Esoknya, pagi-pagi lagi saya dah hantar anak ke sekolah. Sementara menunggu kedai bahan-bahan kek dibuka, saya melepak dikedai mamak sampai pulul 9 pagi. Buka je kedai saya terus meluru masuk. Capai barang yang diperlukan, bayar dan terus pulang. Tak boleh membuang masa, saya terus mengadun kek kukus buah-buahan lagi. Acuan kecil yang digunakan malam tadi dah siap dicuci. Bila dah dimasukkan dalam kukusan, saya terus mengadun kek span untuk membuat kek lapis pandan. Siap je kek span, saya perlu menjemput anak disekolah. Dari sekolah terus ke restoran mamak makan tengah hari. Anak saya ni bukan boleh lambat makan. Memekak je sepanjang hari kalau lapar. Saya nak buat kerja pun tak boleh.


Pukul 3 petang baru kek kukus  buah-buahan masak. Sementara tu saya dah trim kek span cantik-cantik. Anakpun saya dah tidurkan. Barulah aman sikit nak buat kek lapis pandan. Buat kek ni senang je. Tak perlu peluh-peluh. Tenggek je atas api, Cuma kacau je sampai masak. Kemudian lapiskan dengan kek span yang dah trim tadi. Lepas ni kena masak untuk makan malam pula.

Lepas makan malam, baru saya buat kek coklat moist saiz kecil. Masih guna acuan kecil yang sama. Rasa macam nak beli acuan lagi je. Akhirnya siap juga semua kek-kek saya. Hanya menggunakan 2 acuan kecil, 1 kukusan dan 1 oven kecil. Itupun masih banyak lagi masa terluang. Saya rasa kalau dapat tempahan 2 kali ganda lebih banyak dari itupun saya masih boleh siapkan.


Kesimpulannya, untuk membuat kek dengan cepat, dalam kuantiti  yang banyak kita perlu merancang masa yang ada supaya kita dapat mengoptimumkan masa dan tenaga. Barulah kita dapat melakukan semua kerja tanpa rasa terbeban terutama kepada surirumah yang ingin berniaga kek secara sambilan. Antara perkara yang perlu diambil kira adalah:
  1. Masa yang kita ada untuk menyiapkan semua tempahan
  2. Peralatan yang ada untuk membuat kek serentak dalam satu masa
  3. Yang paling penting, kita perlu mamahami sesuatu resepi itu dengan sempurna. Kek yang menggunakan kukus dan kek yang menggunakan oven tentulah boleh di masak dalam satu masa. Kek yang leceh boleh dibuat menggunakan resepi komersial yang tentu menjimatkan masa, mudah disediakan dan bertepatan rasanya.

Akhir sekali saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua pembaca setia blog Resepi Masakan Barat Komersial. Selamat Bercuti.