Pengiktirafan halal sangat penting jika berniaga di negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Produk halal, berpotensi dibeli oleh sesiapa sahaja berbanding produk tidak diiktiraf sebagai halal. Usahawan Islam, seringkali mengabaikan fakta ini kerana menganggap pengguna Islam akan membeli produk dari orang Islam sedangkan pada produk tak boleh menunjukkan bahawa ia dibuat oleh usahawan Islam. 



Usahawan bukan Islam pula bertungkus-lumus dan sanggup berbuat apa sahaja untuk memikat hati pengguna Islam. Ada yang sanggup menggunakan taktik mengelirukan untuk menunjukkan seolah-olah produk mereka dibuat oleh usahawan Islam. Ada juga yang melantik pengarah atau rakan kongsi boneka dari kalangan orang Islam supaya mereka mendapat semua keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan kepada usahawan Islam.


Suatu masa dahulu, banyak sangat produk dipasaran yang menunjukkan seolah-olah ia di hasilkan oleh usahawan Islam ataupun sekurang-kurangnya usahawan melayu. Saya ingat lagi pada waktu itu, gambar-gambar bercirikan Islam atau melayu diletakkan pada label produk seperti kubah masjid, tulisan khat dan tulisan jawi atau arab, menggunakan jenama seperti nama orang melayu dan sebagainya. Walaupun produk yang mereka jual menggunakan bahan-bahan halal dan diproses dengan bersih namun selagi mereka bukan Islam, mereka tak boleh menentukan produk mereka halal. Bagi mereka, kalau dah cuci berkali-kali dengan sabun, peralatan mereka dijamin bersih. Kalau tak menggunakan bahan berasaskan anjing dan babi, mereka anggap produk mereka halal.


Mujur sekarang kita ada badan yang menjaga isu halal dan haram di Malaysia. Saya gembira orang Islam Malaysia bersatu dalam menentukan produk yang halal dan hanya 1 logo halal yang boleh dipercayai. Kalau dulu, setiap negeri ada logo halal mereka sendiri. Namun, kebanjiran produk dari luar negara di negara kita menyebabkan sekali lagi kita keliru adakah produk yang dilabel sebagai halal itu benar-benar halal? Negara lain juga sama seperti kita. Satu negara tapi banyak logo halal. Diantara banyak-banyak logo halal ini, ada logo halal yang diiktiraf oleh JAKIM. Pastikan anda hanya menggunakan produk dengan logo halal yang diiktiraf JAKIM sahaja.


p/s: Saya berharap satu hari nanti, orang Islam seluruh dunia akan bersatu-padu dan hanya menggunakan 1 logo halal sahaja atau sekurang-kurangnya satu negara satu logo halal sahaja.