Seringkali kita didedahkan dengan program-program yang diwar-warkan sebagai paling lumayan diakhbar-akhbar, radio, televisyen dan internet. Program begini biasanya menawarkan modal yang rendah dan hasil yang lumayan tanpa perlu bersusah payah. Bagi saya, jika kita mendapat wang, mesti ada seseorang yang perlu mengeluarkan wang. Tidak mungkin kita akan mendapat wang lumayan hanya dengan menyertai sesuatu program sahaja. Kita perlu mencari seseorang untuk mengeluarkan wang barulah kita akan mendapat wang. Tanpanya, tiada lah wang buat kita. Dengan itu, lahirlah berbagai-bagai program yang menawarkan pendapatan lumayan dengan syarat kita mencari seberapa ramai individu yang sanggup mengeluarkan wang untuk diberikan kepada kita. Dan satu perkara lagi yang perlu kita ketahui, jika kita mendapat keuntungan, pasti ada ramai individu yang akan mendapat kerugian.

Bagi saya, hanya satu kaedah saja yang lumayan iaitu berniaga. Cabang perniagaan memang banyak. Pilihlah sesuatu yang sesuai dengan minat anda. Pertanian juga salah satu cabang perniagaan kerana kita akan niagakan hasil pertanian kita. Terpulang kepada kita sama ada ingin menceburi bidang penternakan atau penanaman. Apa yang penting kita perlu memilih tanaman atau ternakan yang mendapat permintaan tinggi dan harga yang lumayan. Kita juga boleh memilih tanaman atau ternakan yang paling mudah dijaga dan paling kurang modal yang diperlukan.

Tip saya jika anda ingin menceburi bidang pertanian, pilih sesuatu yang mempunyai tambah nilai yang tinggi. Jika kita menanam pisang, sebaiknya jangan menjual pisang, sebaliknya juallah kerepek pisang. Renung-renungkanlah. Setandan pisang, kita hanya memperolehi RM20-RM30 sahaja. Tetapi dengan setandan pisang juga kita akan mendapat hasil sehingga 2 kali ganda lebih banyak sekiranya kita menjadikannya kerepek. Itu cuma contoh sahaja. Anda juga boleh menjual pisang goreng, dan berbagai kuih dan kek yang berasaskan pisang.

Gambar diatas adalah gambar Ahza dan Sarah bersama lembu ternakan ayah saya. Keadaan kampung yang menghijau menyebabkan ayah saya memilih lembu untuk diternak. Dia menceburi bidang ini sejak berpuluh tahun lalu sebagai hobi sehinggalah sekarang setelah pencen dia masih menternak lembu. Ayah saya hanya menternak lembu yang berumur 1 tahun sahaja dan menjualnya setelah mencapai umur 2 tahun. Cara ini paling sesuai dengan dia kerana dengan masanya yang terhad, dia mampu menjaga lembu dewasa yang lebih senang diurus. Selepas hari raya haji, dia akan membeli lembu untuk diternak dan akan menjualnya menjelang hari raya haji yang akan datang. Hari raya haji adalah hari dimana permintaan lembu ditahap yang paling tinggi. Ayah saya tidak melakukan pembiakan lembu kerana dia tidak sanggup menjaga anak lembu yang perlu diberi perhatian istimewa. Itulah kehebatan dia. Sedar kemampuan sendiri dan buat mengikut kemampuan sendiri. Sekali-sekala, dia akan menjual daging lembu terutama pada hari raya puasa untuk menghabiskan stok lembu yang tidak terjual. Ayah saya sungguh mengagumkan.