Sebelum bercerita  mengenai Labu Manis Masak Lemak, ada baiknya saya berceloteh mengenai sesuatu yang bekhasiat dulu. Saya tertarik dengan pelbagai rempah dan herba barat yang dijual di negara kita dijual dalam botol yang menarik dan eksklusif. Secara dasarnya herba-herba barat seperti daun bay, rosmary, thyme dan lain-lain hanya sekadar daun-daun kering sahaja. Negara kita juga terdapat banyak herba-herba masakan yang unik dan boleh dikomersialkan. Daun kari, daun kunyit, daun limau purut dan sebagainya sangat berpotensi untuk dieksport dan banyak terdapat di negara kita. Jika kita boleh mengeksport kerepek ubi dan pisang setaraf dengan kerepek kentang, mesti herba-herba tempatan juga boleh dieksport setaraf dengan herba barat. Dengan teknologi penghidratan yang ada sekarang ini, tak mustahil untuk mengekalkan rasa dan bau herba-herba tempatan. Kita mesti memanipulasi segala hasil bumi yang ada dinegara kita. Apa yang ada, kita nyahhidratkan untuk dieksport. Jangan hanya tertumpu pada herba untuk kesihatan sahaja seperti mas cotek, tongkat ali, pegaga, peria dan sebagainya.


Bahan-bahan untuk Labu Manis Masak Lemak
300g Labu Manis
½ L Santan dari ½ bj kelapa
4 ekor Ikan Bilis
1 ulas Bawang Putih
¼ bj Bawang Besar
1 bj Lada Merah
½ cmt Garam
1 cmb Gula
2 cmt Serbuk Kunyit
1 helai Daun Kunyit


Cara membuat Labu Manis Masak Lemak
  1. Labu dibuang kulit, dibersihkan dan dipotong dadu sebesar setengah inci.
  2. Bawang besar, bawang putih dan ikan bilis ditumbuk kasar.
  3. Daun kunyit diikat dan diramas sedikit untuk mengeluarkan aromanya. Lada merah dibelah dua tetapi tidak putus.
  4. Rebus labu manis sehingga empuk dan tuskan.
  5. Masukkan bahan-bahan lain kedalam periuk dan didihkan.
  6. Masukkan labu manis kedalam kuah dan biarkan merenih sebentar.
  7. Perasakan dengan garam dan gula dan hidangkan bersama nasi.


Tip Masakan Berguna

  1. Labu manis masak lemak lebih sedap jika kuahnya lebih manis dari masak lemak yang lain. Itu sebabnya jarang sekali kita jumpa labu manis dimasak dengan cili api. Bagaimanapun jika anda rasa perlu cili padi, apa salahnya cuma pastikan garam dan gulanya seimbang.
  2. Satu tabiat saya jika menyediakan hidangan ini, saya tak akan lupa untuk membuat sambal tumis. Entah kenapa saya rasa labu manis masak lemak ni sangat sesuai dengan sambal tumis untuk dimakan bersama nasi. Kalau dah ada sambal tumis, tak ada kicap pun tak mengapa.
  3. Daun kunyit bukan sahaja memberi aroma untuk resepi ini tetapi juga memberi rasa yang unik. Tak banyak hidangan yang saya suka menambahkan daun kunyit didalamnya antaranya, sup cendawan, rendang dan sup jernih karangan laut.