Kalau kuah lodeh je, mesti ketupat. Kalau ketupat je mesti raya. Kuah lodeh tak sepatutnya hanya dihidangkan sewaktu hari raya sahaja kerana ia adalah hidangan yang sangat berkhasiat. Penuh dengan berbagai sayur-sayuran. Pilih je sayuran mana yang kita suka kebanyakkannya sesuai sangat dengan lodeh. Jangan tunggu hari raya je baru nak masak lodeh. Jangan tunggu kenduri masak lontong je baru nak merasa makan lodeh. Mari kita buat lodeh seringkas dan semudah mungkin supaya kita boleh lebih kerap makan dengan nasi. Kalau nak buat lontong pun sangat mudah menggunakan teknik dan resepi membuat nasi himpit. Kalau nak belajar buat ketupat pun, boleh belajar teknik anyaman ketupat yang saya sediakan dalam bentuk video supaya anda boleh belajar perlahan-lahan. Eh! Puasa dah dekat ye?


Bahan-bahan untuk Kuah Lodeh
½ btg Carrot
50g Tauhu Kering
2 Kpg Tauhu Keras
50g Suhun
2 bj Kentang
½ bj Bawang Besar
2 Ulas Bawang Putih
1 cmt Serbuk Kunyit
5 ekor Ikan Bilis
3 bj Cili Padi
200ml Santan Pekat
1L Air


Cara Membuat Kuah Lodeh
  1. Gunting tauhu kering selebar 2 inci dan rendam bersama suhun 15-30 minit.
  2. Goreng tauhu keras dengan minyak banyak sehingga kekuningan. Potong kecil 6 hingga 8 bahagian.
  3. Bawang besar, bawang putih, ikan bilis dan cili padi ditumbuk kasar.
  4. Didalam periuk, masukkan bahan tumbuk, serbuk kunyit, air dan santan pekat.
  5. Kupas kulit kentang, bersihkan dan potong sebesar ibu jari atau belah emat sahaja. Masukkan kedalam periuk juga.
  6. Hidupkan api besar dan kacau kuah lodeh sehingga mendidih. Utamakan bahagian tepi periuk agar tidak pecah santan.
  7. Setelah mendidih, bolehlah dikecilkan api dan biarkan merenih sambil dimasukkan carrot yang dipotong tebal memanjang.
  8. Reniih sehingga kentang dan carrot empuk barulah dimasukkan tauhu kering, tauhu keras dan suhun.
  9. Renih sebentar lagi sehingga suhun lembut dan boleh dihidangkan.


Tip Masakan Komersial
  1. Kebanyakkan surirumah yang malas memasak kuah lodeh berpendapat masakan ini rumit dan leceh kerana bahan yang digunakan terlalu banyak. Anda sepatutnya menghadkan penggunaan sayur-sayuran supaya ia lebih menyenangkan kerja dan menjimatkan. Bila bahan yang digunakan itu sikit dan ini sikit menjadikan masakan kurang menjimatkan kerana kita perlu membeli sedikit-sedikit. Lebih baik pilih dua atau tiga bahan yang paling disukai.
  2. Banyak sangat bahan yang boleh digunakan untuk kuah lodeh ini seperti tempe, kobis, cili merah, sengkuang, kacang panjang dan sebagainya. Bahan seperti kobis dan tempe memberikan rasa dan bau yang kuat pada kuah lodeh. Biasanya ia menjadi pilihan terakhir saya. Tempe perlu digoreng dahulu seperti tauhu sebelum di masak lodeh.
  3. Peniaga lontong juga biasanya menghadkan penggunaan bahan-bahan dalam kuah lodeh. Biasanya kita akan dapati bahan yang murah seperti sengkuang dan kobis banyak digunakan. Penggunaan bahan ini dapat memberikan kuantiti dalam masakan lodeh tanpa penambahan kos yang ketara.
  4. Untuk resepi diatas, saya hanya menggunakan ikan bilis sebagai perasanya. Anda boleh menggunakan udang kering atau udang segar bergantung kepada selera.
  5. Bahan seperti tauhu kering dan suhun boleh menyerap kuah yang banyak. Jika menggunakan bahan ini, lebihkan air dan santan supaya kuah tidak kering kecuali jika anda mahu terus menghidangkannya.
  6. Pasangan kuah lodeh untuk lontong adalah sambal tumis ikan bilis. Selain itu, telur rebus juga dihidangkan bersama supaya hidangan lebih seimbang. Ada karbohidrat, sayur dan juga protin.