Akhirnya siap juga tempahan kek yang saya terima. Cuma tinggal topping sahaja untuk kek coklat moist. Sebelum hantar barulah letak topping. Bukan susah sangat buat topping. Campurkan bahan, masak sekejap dan tuang. Syukurlah ada tempahan. Dapat juga belanja petrol untuk balik kampung. Bukan banyak sangat tempahan yang diterima hari ini. Hanya 3 kek coklat moist dan 2 blueberry cheese cake. Tapi saya tetap rasa seronok memasak dan membuat kek. Saya gembira membuat apa yang saya suka. Walaupun penat dengan kerja seharian, kalau dapat memasak, saya rela tinggalkan yang lain.
Itulah yang saya rasa bila memasak. Ada beberapa keseronokan yang saya dapat. Pertama, keseronokan sewaktu menyediakannya. Kedua, keseronokan ketika menikmatinya dan ketiga keseronokan ketika mendapat imbuhan dari apa yang saya buat.

Pertama
Saya memang suka memasak. Tak kira apa yang saya lakukan, saya akan kaitkan dengan memasak. Kalau saudara mara adakan kenduri kahwin, saya akan duduk dibahagian memasak. Kalau keluarga pergi berkelah atau melancong, saya akan sediakan makanan. Kalau saya membaca, saya akan membaca majalah masakan. Kalau kawan-kawan minta tolong, saya akan bantu apa sahaja dibahagian dapur. Pendek kata memasak adalah hidup saya.

Kedua
Siapa tak suka makan. Kalau masakan menjadi lagi la suka makan. Tetapi keseronokan sebenar yang saya rasa ialah ketika keluarga, sahabat-sahabat dan pelanggan saya menikmati hidangan yang saya sediakan. Kalau boleh saya nak duduk mengadap mereka makan. Saya nak tengok muka mereka semua. Dari air muka, saya boleh menilai sama ada mereka suka atau tidak. Saya boleh tilik muka orang sebenarnya. Kalau tanya mereka tentu mereka kata sedap je untuk ambil hati saya la tu. Jadi bak kata iklan mi sedap, mulut boleh bohong tapi lidah tak boleh bohong.

Ketiga
Bukannya saya mementingkan sangat imbuhan tetapi ini salah satu cara saya menilai hasil kerja saya. Ini menjadi pendorong kepada saya untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Lagipun bukan mahal sangat saya jual pun. Kek coklat moist berat 1.8kg baru RM30. Dulu saya jual RM35 tapi tak sampai hati. Saya bagi diskaun RM5. Lepas tu harga kekal terus RM30. Kira ok la tu. Ada orang jual RM30 jugak tapi berat hanya 1.2kg je. Blueberry cheese cake pulak saya jual RM20 je. Kenapa? Mahal? Pergi la tengok kat pasaraya berapa harga cream cheese philadelphia 250g. Nasib baik saya guna resepi komersial. Harga bahan-bahan terus melonjak, kek saya pulak yang turun harga. Itulah kelebihan resepi komersial. Jimat, Cepat, Tepat dan Selamat

Saya seronok juga mendapat pujian dari kawan-kawan. Tak tau la kalau mereka ni hanya nak menyedapkan hari saya je ataupun nak mintak diskaun. Setahu saya mereka ni berulang-ulang menempah dari saya. Mungkin kerana mereka berpuashati dengan rasa dan harganya. Apa yang penting saya dapat buat apa yang saya suka.