Tidak dinafikan, menghias makanan memang sangat penting untuk menjadikan hidangan lebih menarik sekaligus dapat meningkatkan selera pemakannya. Sebelum merasa makanan, tentu kita perlu melihatnya dahulu, jadi menghias makanan juga boleh menjadi tarikan pertama untuk menikmatinya. Pendek kata, jika diletakkan dua hidangan yang sama, satu dihias cantik dan satu tidak dihias, sudah tentu anda akan memilih hidangan yang dihias. Fakta ini betul sekiranya tidak melibatkan faktor seterusnya yang akan dibincangkan dibawah. Sila teruskan membaca...


Dalam perniagaan, menghias makanan juga sama pentingnya dengan penyediaan makanan itu sendiri. Rupa makanan menjadi faktor utama sebelum bau dan rasa makanan. Jika rupa makanan kurang menarik, proses menjual akan menjadi lebih sukar. Anda perlu memberikan sampel percuma terlebih dahulu sebelum mendapat kepercayaan pelanggan. Bagaimana jika rasa makanan pun tak seberapa?


Bagaimanapun proses menghias makanan juga memerlukan kos tambahan. Walaupun hanya menggunakan 2 helai daun pudina, anda tetap perlu mengeluarkan belanja. Lain la kalau anda tanam sendiri. Oleh itu, walau bagaimana besarpun perniagaan anda, tanamlah sedikit tumbuh-tumbuhan yang cantik dijadikan hiasan seperti selasih, pandan, pisang, ulam-ulaman dan sebagainya. Sesak-sesak ada juga benda nak guna.


Bagi blog Resepi Masakan Barat Komersial pula, saya memang tak begitu mementingkan hiasan. Saya tak mempunyai banyak masa dan belanja untuk proses menghias. Blog ini hanya mengajar memasak untuk menjamu perut anda dan pelanggan anda. Kalau saya hias cantik-cantikpun, gambar yang saya ambil tetap tak menarik juga. Saya bukan pandai sangat menggunakan kamera. Tapi syukurlah saya ada kamera walaupun bukan DSLR. Jadi begitulah gambar makanan yang dapat saya tunjukkan. Sama seperti apa yang sepatutnya anda perolehi apabila mencuba resepi-resepi di blog ini. Tiada edit, tiada kamera trick dan tiada gambar yang bukan dari saya. Kalau anda berhajat nak menjamu mata, anda boleh kunjungi blog lain yang menyajikan gambar-gambar hebat. Atau anda beli je majalah masakan yang memang berkeupayaan menghias makanan kerana mereka memperolehi keuntungan dari apa yang mereka buat. Apa gunanya gambar yang cantik jika resepinya tidak berkualiti. Apa lagi gambar dari google. Jadi saya pilih untuk memberikan resepi. Bak beri dua-dua, saya tak mampu.

Gambar-gambar dalam entri ni tak de kena mengena dengan artikel ni pun. Saja je buat menghiburkan hati yang tak tenang sekarang ni.