Sejak saya menulis blog ini, ramai yang bertanyakan kenapa nak tulis blog? Kenapa nak berikan resepi-resepi dan panduan yang amat berguna kepada umum? Resepi-resepi percuma itu sepatutnya dirahsiakan dan saya gunakan sendiri untuk mendapatkan wang berlipat kali ganda. Kalau semuanya dah di berikan kepada orang lain, apa yang tinggal untuk anak cucu saya nanti?

Pada awalnya, sayapun kurang pasti kenapa saya berblog. Niat asalnya supaya dapat saya dapat menulis apa sahaja mengenai hidup saya, keluarga saya, hobi saya, tempat yang saya pergi, apa yang saya makan dan apa yang saya masak. Pendek kata, saya ingin muatkan segala aktiviti saya disini. Kemudian saya dapati saya tak mampu nak masukkan semuanya. Mana mungkin, dengan kerja yang semakin bertambah setiap hari, saya nak tulis semua yang saya buat. Akhirnya saya menghadkan untuk menulis mengenai resepi-resepi yang saya anggap sangat berguna kepada saya. Resepi-resepi ini bakal menjadi rujukan saya sendiri dan akan saya kemaskini kerana setiap kali saya memasak pasti ada pengajaran yang akan saya perolehi walaupun saya telah memasak sesuatu hidangan itu sudah ratusan kali. Jadi saya masukkan kesilapan-kesilapan yang mungkin dilakukan supaya saya tak melakukan kesilapan lagi. Saya perbaiki kaedah-kaedahnya supaya kerja-kerja memasak menjadi lebih mudah dan cepat pada masa yang akan datang. Saya pelbagaikan sesuatu hidangan dan tuliskan idea-idea yang terlintas difikiran untuk saya cuba di lain hari.

Akhirnya saya dapati tulisan-tulisan saya amat berguna untuk orang lain terutama orang yang masih tercari-cari bidang yang ingin diceburi sebagai mata pencarian. Saya mengambil keputusan untuk membantu mereka yang berminat menceburi bidang perniagaan makanan. Ini memang bertepatan dengan minat dan karier saya sebagai guru. Ramai yang tidak tahu, setiap kali saya mengajar seseorang memasak, saya bukan sahaja mencurahkan ilmu saya kepada  mereka malah ilmu saya juga bertambah berlipat kali ganda. Jika seseorang memasak, mereka mungkin melakukan 1 atau 2 kesilapan. Jika 10 orang yang memasak, saya dapat mengenalpasti hampir 20 kesilapan berlainan kerana saya akan memberitahu kepada pelajar saya agar tidak melakukan kesilapan yang telah dilakukan oleh pelajar saya yang sebelumnya. Jika saya memasak sendiri, saya mungkin saya perlu masak 10 kali untuk mengenalpasti kesilapan yang sama.

Sehingga kini, saya mesih menerima maklumbalas, komen dan masalah-masalah yang dihadapi dari pembaca-pembaca blog dan ebook Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial tulisan saya. Mereka menceritakan masalah dan kesilapan yang mereka lakukan dari resepi-resepi saya. Saya pula akan memperbaikinya supaya orang lain tidak akan melakukan kesilapan yang sama. Jadi saya akan mendapat komen dan kesilapan yang lain dari orang lain pula. Proses ini akan terus berlaku sehingga resepi itu menjadi sempurna, lengkap dengan segala panduan yang diperlukan tanpa saya perlu memasak berkali-kali.

Pada saya, memberi ilmu secara percuma tidak akan menjadi masalah selagi saya dapat menyedut berbagai ilmu tanpa anda sedari. Sebagai guru, itu sudah memadai dan cukup memuaskan hati saya. Saya boleh mengajarkan kepada orang lain pula sambil senyap-senyap menyedut ilmunya. Senang cerita, ilmu saya tak akan berkurang malahan semakin bertambah selagi saya mencurahkan kepada orang lain. Apa lagi yang lebih bernilai selain dari ilmu yang berguna untuk diamalkan?

Gambar-gambar diatas adalah beberapa maklumbalas yang saya perolehi dari pembaca yang benar-benar memahami maksud hati saya. Bacalah resepi-resepi saya. Jangan lupa baca komen-komen yang ditinggalkan kerana disana banyak ilmu-ilmu yang tak terfikir oleh saya. Sedut seberapa banyak ilmu yang ada. Tinggalkan komen supaya saya dan pembaca lain dapat berkongsi ilmu anda pula. Tak perlu nak kedekut. Ilmu anda tak akan habis.