Tauke kedai kek tu beri resepi kek pada saya tapi kek saya tetap tak sama macam kek dia. Kek dia gebu, kek saya lekuk. Saya tengok gambar kek dalam majalah resepi macam menarik je tapi bila bila buat, kek jadi mampat. Itulah antara luahan yang sering kita dengar dari suri rumah yang sangat berminat membuat kek. Kalau kek menjadi boleh la jual kat kawan-kawan. Anak-anak nak makan kek tak perlu la beli lagi.

Mungkin anda menyangka tauke kedai kek itu tak mungkin akan memberikan resepi keknya walaupun kepada kawannya sendiri. Mungkin juga anda menyangka, tauke kedai kek itu ada merahsiakan sesuatu dan tidak sepenuhnya memberikan resepi keknya. Resepi didalam majalah pula sudah tentu itu bukan gambar sebenar. Mungkin keknya di ubahsuai bentuknya supaya kelihatan lebih menarik. Kalau yang dihiasi krim, tentu didalamnya kek lain atau mungkin kek dummy je. tak baik buruk sangka dengan orang lain.

Pada saya, membuat kek ni memang cerewet. Mesti menggunakan sukatan yang betul. Sudu, cawan yang digunakan untuk menyukat mestilah sudu dan cawan yang dibuat khas untuk menyukat. Kalau gunakan cawan kopi, sudah tentulah sukatannya berbeza. Timbangan pula mesti dibuat menggunakan alat timbangan yang tepat dan jitu. Kalau kita membeli alat timbangan, kita dapati setiap alat itu melabelkan nilai d iaitu seperti contoh d = 10g. Ini bermaksud ketepatan alat itu adalah 10g. Ini bermakna jika kita menimbang tepung 500g, berat sebenar tepung yang kita timbang adalah diantara 490g -510g. Lebih kecil nilai d, lebih tepat timbangan kita.


Saya sebenarnya sedang menunggu kek saya masak. Ada 3 lagi kek yang perlu dibuat. 1 kek coklat moist dan 2 kek keju blueberry. Jadi boleh la saya memberikan sedikit lagi tip untuk anda.

Kalau kita lihat di kedai kek, peralatan yang mereka gunakan memang cukup canggih. Mixer besar kuat dan berjenama. Oven dengan fungsi turbo, fan dan infra red. Ada juga yang boleh menyemburkan wap air pada kek sewaktu membakar. Oleh itu ada yang beranggapan, untuk membuat kek yang hebat, memerlukan peralatan yang mahal. Pada pendapat saya, peralatan mahal tidak ada kena mengena dengan hasil kek. Mereka menggunakan peralatan yang mahal hanya kerana kualitinya yang tahan lama. Mereka guna untuk berniaga, sering menggunakan peralatan seperti mixer dan oven. Setiap peralatan jika digunakan selalu tentulah secepat rosak. Jadi peralatan mereka mestilah tahan lama sebab mereka ingin berniaga lama. Lagipun mereka nak buat dalam kuantiti yang banyak. Kalau guna peralatan kecil, bila nak siap...

Saya mengadun kek hanya menggunakan hand mixer sahaja. Membakar kek menggunakan oven yang berharga RM100.  Lain la kalau saya nak membuat roti. Saya perlu menggunakan mixer yang kuat. Nak uli pakai tangan lama-lama rasa tak larat. Maklum la. Tangan ni masih nak pakai lama. Kesimpulan yang saya buat, untuk membuat kek yang hebat kita hanya memerlukan resepi yang betul. Maksud saya resepi yang tidak cerewet. Resepi yang tetap menjadi walaupun timbangan kita tidak tepat. Resepi yang tetap menjadi walaupun kita menggunakan apa sahaja peralatan yang kita ada. Resepi yang bercirikan komersial.

Oleh itu, kalau nak tanya resepi kat tauke kedai kek, tolong tanya lebih spesifik. Kalau tepung tu, tanya jenama apa yang digunakan. Tepung sekarang ada bermacam-macam jenis dengan harga yang jauh berbeza. Tentu kegunaannya jauh berbeza juga. Ada juga kek yang terlalu sensitif. Masa bakar tak boleh nak goyang sikit pun. Kalau goyang, alamat turun la kek tu. Nak buka penutup oven lagi tak boleh. Tanya segala-galanya tentang kek yang anda ingin pelajari seperti tip, pantang larang, apa yang boleh dan apa yang tak boleh atau gunakan hanya resepi komersial yang tak banyak kerenah.