Sebagai pengajar dalam bidang masakan, saya amat menitikberatkan faktor keselamatan ketika didapur. Lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan pelajar yang rata-ratanya masih dibawah umur dan semestinya belum matang dalam membuat keputusan.

Adalah sesuatu yang amat menakutkan sekiranya sesuatu terjadi kepada pelajar saya kerana saya yang bertanggungjawab dalam segala hal. Ruang dapur adalah tempat yang berisiko menghadapi kemalangan oleh itu ruang dapur mesti kemas, teratur dan dilengkapi dengan kit bantuan kecemasan.

Diantara kemalangan yang berkemungkinan berlaku ketika berada di dapur adalah luka, melecur, terbakar, renjatan elektrik, pitam, kekejangan otot, hidung berdarah, melepuh dan terseliuh. Mengajar seseorang yang memang tidak pernah atau terlalu jarang berada didapur memang memenatkan. Saya perlu mengajar satu persatu peralatan yang perlu digunakan kerana jika menggunakannya dengan cara yang salah sudah pasti kemalangan mudah berlaku.

Didalam ebook-ebook saya juga ada saya titikberatkan faktor keselamatan terutama dalam Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial 4 yang saya berikan secara percuma. Panduan dalam ebook itu melibatkan penghasilan karamel dari gula dan perlu dituang dalam adunan sewaktu mendidih. Jika setitik terpercik pada kulit, pasti buruk akibatnya.

Berdiri didapur dalam tempoh yang lama berkemungkinan besar menyebabkan pitam atau kekejangan otot. Kemalangan ini berlaku biasanya disebabkan oleh tekanan darah berkurangan kerana jantung tidak dapat mengalirkan darah ke otak. Berada didalam keadaan yang terlalu letih dan lapar juga boleh mengakibatkan perkara ini berlaku. Pastikan kita meminum air yang mencukupi supaya sentiasa segar dan tidak mengantuk.

Langkah-langkah keselamatan perlu diambil perhatian yang serius untuk mengurangkan kemalangan sewaktu didapur. Antara yang perlu diutamakan ialah
  1. Memakai pakaian yang sesuai ketika berada didapur. Pakaian chef bukan hanya untuk kelihatan kemas dan segak. Ia sepatutnya dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti kainnya yang tebal dan tahan haba. Ciri-ciri ini cukup untuk kita menyedari kemalangan yang berlaku seterusnya mengelakkan kemalangan menjadi bertambah serius.
  2. Mematuhi peraturan keselamatan sewaktu mengendalikan peralatan didapur. Inilah masalah yang sering saya hadapi bersama pelajar-pelajar saya. Tangan memegang pisau masih sempat bergurau senda. Ada juga yang memetik suis elektrik dengan jari yang basah dan macam-macam lagi.
  3. Memastikan ruang dapur mempunyai lalulintas yang selamat. Jangan ingat memandu je mementingkan lalulintas. Kami perlu membawa peralatan yang sangat panas dan jika lalulintas tidak diambil perhatian sudah pasti ada yang terlanggar, tersadung, terpegang dan macam-macam ter lagi. Lalulintas juga perlu kering dan tidak licin untuk mengelakkan tergelincir. Gunakan kasut yang bertutup penuh dengan tapak yang betul-betul mencengkam. Jika boleh, gunakan kasut kulit.
  4. Memakai sarung ketuhar ketika mengendalikan peralatan yang panas.



Sumber : Penyediaan Masakan Barat dan Timur Tingkatan 4 dan 5