Saya baru saja mengenali kek Red Velvet ini. Pengalaman membuatnya pun tak sampai 10 kali, jadi tak banyak yang dapat saya kongsikan disini. Saya pun tak mau la memandai-mandai bercerita sedangkan ilmu yang adapun masih tak seberapa. Apa yang saya pasti, saya akan kongsikan. Benda-benda yang saya kurang mahir, saya harap anda boleh selongkar sendiri di internet. Kalau boleh saya cuma nak bercerita berdasarkan pengalaman saya sahaja.


Kek Red Velvet yang saya buat ini, mempunyai kaedah yang berbeza sikit dengan kek-kek yang pernah saya buat. Hanya menggunakan sedikit serbuk koko tetapi warna coklat ini ditutupi sepenuhnya dengan pewarna merah yang sangat terang. Kalau anda tengok warna merah hiasan velvet diatas kek dalam gambar diatas, itulah warna sebenar kek red velvet ini kerana hiasan velvet tu dibuat dari cebisan kek itu sendiri Ada macam baldu tak? Oleh kerana menggunakan koko yang sedikit, jadi rasa coklat pun cuma sipi-sipi sahaja sama seperti Cupcake Coklat Tipis yang saya paparkan suatu ketika dahulu. Teknik mengadun kek ini yang membuatkan saya tertarik. Pertama ia menggunakan buttermilk sama seperti Muffin Coklat Berganda. Kedua, step terakhir menyediakan adunan ini menggunakan soda bikarbonat yang dicampur dengan vivegar terlebih dahulu. Bikarbonat apabila dicampur dengan asid, sudah tentu mengeluarkan gas karbon dioksida jadi soda bikabonat seolah-olah kehilangan fungsinya apabila semuanya telah bertindakbalas terlebih dahulu. Tu yang saya tak faham tu... Siapa boleh bantu?

Lihatlah Kek Red Velvet yang anak saya hias pula dalam entri Membina Empayar Perniagaan Bersama Keluarga