Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat berpuasa. Semoga anda semua dapat menyempurnakan ibadah dengan cemerlang serta merebut segala kelebihan bulan Ramadhan.

Kali ini saya ingin menjamu mata anda dengan kek lapis naga merah yang baru saya reka sewaktu menyiapkan tempahan kek coklat moist dan kek lapis pandan baru-baru ini. Kek lapis naga merah ini mempunyai konsep yang sama dengan kek lapis pandan cuma kek ini menggunakan buah naga merah sebagai bahan utamanya. Bahan-bahan pudingnya di ubahsuai untuk memberikan rasa yang serasi dengan buah naga merah. Warna buah naga yang merah pula sangat menyerlah dan cantik membuatkan kek ini sesuai dijadikan buah tangan atau hantaran perkahwinan. Dan cara saya, setiap kali mereka resepi baru, saya akan pastikan ciri-ciri resepi bersesuaian dengan resepi komersial supaya boleh dijadikan produk untuk menambah pendapatan.

Satu sahaja pesanan saya, bulan Ramadhan ini merupakan bulan dimana kita lebih cenderung dan bersemangat untuk mencuba resepi-resepi baru seterusnya mereka hidangan-hidangan yang mungkin tidak terfikirkan oleh orang lain. Jadi jangan takut, jangan kedekut. Cubalah sekurang-kurangnya satu rekaan baru setiap minggu. Lagipun tak perlu risau kerana semua orang telah seharian berlapar. Sudah tentu semuanya akan rasa lebih lazat. Mungkin anda boleh mengubahsuai butter cookie menjadi lebih menarik atau kek kukus buah-buahan menjadi sejenis kek yang lain seperti prune atau kurma. Sesuatu yang baru akan lebih menarik hati pembeli. Mana-mana resepi yang berjaya, gunakanlah untuk berniaga di bulan yang mulia ini.