Setiap kali mendapat tempahan kek, perkara pertama sekali yang perlu saya fikirkan dan memeningkan kepala saya ada tema. Kalau dikedai kek, ibubapa yang nak beli kek cuma perlu tunjuk sahaja mana-mana kek yang ada dalam peti ais. Suruh mereka tulis nama sekejap, bayar dan terus bawa balik. Tapi jika tempahan kek melalui saya, yang ada cuma gambar. Jarang ada yang nak lihat gambar. Jadi setiap kali menerima tempahan, saya perlu pastikan untuk siapa kek tersebut. Lelaki ke perempuan, kanak-kanak ke dewasa, apa yang dia suka, warna apa yang dia nak, kek apa yang dia paling gemar, dan yang paling penting, berapa budget yang disediakan.

Biasanya, kalau dilihat pada rupa dan tema kek, kita dah dapat agak, bagaimana agaknya pemilik kek tersebut. Warna pink dengan edible image watak kartun princess, corak bunga-bunga sudah tentulah kepunyaan seorang kanak-kanak perempuan. Tak mungkin kek untuk bayi atau budak lelaki.

Bagi yang berbakat dalam menghias kek, menghasilkan kek yang boleh menggambarkan sifat pemiliknya bukanlah suatu masalah. Bagi saya yang tak tiada kelebihan dalam hal sebegini, memang kucar-kacir juga dibuatnya. Kena habiskan sedikit masa meneliti gambar-gambar kek dan kombinasi warna yang sesuai. Kadang-kadang give-up juga bila idea tak kunjung tiba, tetapi tempahan perlu disiapkan. Siapa kata bekerja didapur tiada tekanan?

Kalaulah saya dikurniakan bakat dalam menghias kek. Kalaulah saya mahir dalam memadankan kombinasi warna-warna. Kalaulah jari-jemari saya dengan mudah menghasilkan apa-apa bentuk yang saya nak. Bagaimanapun, alhamdulillah. Syukurlah dengan apa yang saya ada. Saya akan terus berusaha memperbaiki setiap kekurangan. Adakah anda bersama saya?