Menggunakan model permainan untuk menghias kek adalah cara yang paling senang malah akan menjadikan kek anda lebih cantik jika kena pada susunannya.

Model-model yang saya gunakan untuk kek ini diperbuat dari plastik. Walaupun hiasan begini tidak boleh dimakan, ia ada beberapa kelebihan lain. Model plastik tahan lebih lama. Jadi kanak-kanak boleh bermain dengannya dan menyimpannya untuk tempoh yang lama. Lagipun, jika model hiasan dibuat daripada fondant atau sugarpaste, belum tentu ada orang yang ingin memakannya. Silap-silap, ia dibuang begitu sahaja.

Membuat model hiasan kek menggunakan fondant atau sugarpaste memerlukan kemahiran dan pengalaman yang lebih banyak. Ia juga memerlukan masa yang lama untuk membentuk dan mengeringkan model. Orang yang menghasilkan model menggunakan fondant atau sugarpaste akan berasa lebih puas kerana ia hasil titik peluh sendiri. Hasil karya yang terhasil juga unik yang tiada dijual dimana-mana kedai.

Kalau boleh, saya lebih menggemari model fondant berbanding plastik. Malangnya tangan saya ni kurang berbakat dalam mengukir model-model. Model-model yang dijual di kedai pula diragui kehalalannya. Saya memang membuat fondant saya sendiri. Saya juga masih belajar dalam menghasilkan model-model yang digemari kanak-kanak. Dengan fondant, kita boleh menghasilkan model-model mengikut warna tema kek itu malah boleh menghasilkan model dengan warna yang terang yang menjadi tarikan kanak-kanak.

p/s: Dah lama model blog ini tak menghiasi entri saya. Mungkin ada yang rindu kot. Hehehe. Jadi boleh belek gambar cute dia beraksi sebagai model halagel iaitu salah satu bahan yang digunakan dalam adunan fondant buatan saya. Barulah yakin menggunakan fondant yang pasti halal. Murah pulak tu.