Ini adalah percubaan saya untuk membuat model hiasan kek yang lebih sukar sedikit dari apa yang biasa saya buat. Apabila saya menerima tempahan kek online untuk tema Smurf, saya terus menganggap ia sebagai satu cabaran baru bagi saya. Saya hanya menggunakan jari-jemari saya yang besar ni sahaja untuk menggentel model ini. Mujur ada sedikit rupa memandangkan peralatan fondant saya tak dijumpai. Jadi saya buat juga berdasarkan gambar Smurf dari internet.


Sekarang baru saya jumpa peralatan fondant saya. Lepas ini, saya berazam untuk membuat model Smurf yang lebih terperinci lagi. Memang seronok apabila dapat mencabar diri membuat sesuatu yang kita suka. Malangnya kotak kek tak cukup tinggi menyebabkan saya tak dapat meletakkan model Smurf diatas kek untuk memudahkan penghantaran. Jadi tak dapat la ambil gambar rupa kek yang sebenar.


Sebenarnya saya tak dibenarkan membuat model-model atau senang cerita patung, untuk kek-kek saya. Itu sebabnya saya hanya membuat model-model kecil seperti serangga, ataupun haiwan-haiwan yang tidak lengkap sepenuhnya. Untuk Smurf ni saya buat juga memandangkan ia hanya watak rekaan atau fantasi sahaja. Setakat ini, saya terpaksa tolak kek-kek dengan model yang jelas seperti patung pengantin, patung barbie dan sebagainya walaupun dalam hati teringin sangat nak buat.


Kek ini masih lagi menggunakan kek coklat moist dengan lapisan homemade ganache didalamnya. Hiasan menggunakan buttercream dan model dibuat dari fondant yang saya adun sendiri dan sudah pasti dari bahan-bahan yang terbaik dan halal. Terima kasih kepada Pn. Mastura, kerana sanggup bersusah-payah menempah kek online dari saya.