Dah macam blog kek pulak rasanya bila dipenuhi gambar-gambar kek. Tak mengapa la saya tumpang gambar kek kat sini kerana saya harap dengan cara ini akan memudahkan saya merujuk semula apa yang pernah saya buat. Nak mencari semula pun senang disamping dapat meninggalkan beberapa tip dan masalah-masalah yang saya hadapi supaya tidak mengulanginya sekali lagi. Gambar kek dalam entri ini adalah pasangan kepada Chocolate Cupcake dengan Hiasan Fondant 3d yang saya paparkan dalam entri lepas. Sahabat yang menempahnya inginkan kek yang lebih besar tetapi saya tidak berkemampuan untuk membuatnya disebabkan kekurangan kelengkapan. Kek ini cuma seberat 3kg sahaja menyebabkan dia menambah cupcake untuk jemputannya yang ramai.


Bahagian tepi kek tu sebenarnya saya buat kerana inginkan corak yang mudah sahaja. Dengan harapan boleh la siap cepat sikit. Kalau difikirkan, sekadar membuat garisan halus, apa la susahnya. Rupa-rupanya nak cepat menjadi semakin lambat. Garisan yang disangka boleh dibuat dengan cepat sebenarnya lebih melambatkan lagi kerja saya. Mungkin kerana jumlah garisan yang terlalu banyak dan rapat menyebabkan saya rasa terlalu penat. Tangan rasa kebas dan terpaksa berhenti beberapa kali untuk memicit tangan. Bagaimanapun hasilnya agak tidak mengecewakan saya. Tetapi saya rasa, kek ini hanya cantik jika di lihat dari jauh dimana warna-warna garisan halus itu membentuk ton berbelang-belang. Kalau tengok dari dekat rasa macam sangkar burung la pulak!


Bahagian atas tu pula, pada asalnya saya ingin membuat corak shell membentuk frame setengah inci dari bucu kek. Kemudian bila difikir-fikirkan semula lebih baik tak ada. Sahabat yang menempahnya ingin meletakkan strawberi diatasnya. Jika ada frame, saya khuatir tak muat pula. Mana nak letak edible image lagi, nama birthday girl lagi. Penuh sangat pulak jadinya. Kalau saya tau tak jadi buat frame diatas kek, tentu saya matikan garisan bahagian atas dengan lebih elok lagi. Tak de la terpacak-pacak macam tu. Cuba tengok gambar kek kat atas ni yang tanpa strawberi. Rasa macam lebih elok je. Tak de la serabut sangat. Kalau kosong macam tu mungkin sesuai letak frame kot. Lepas ni macam teringin nak tengok kek sangkar burung macam ni warna biru atau hijau pulak lah..