Dah lama saya tak paparkan gambar-gambar kek yang saya buat. Sampai dah bercendawan kat dalam komputer. Saya pun dah lupa jalan ceritanya. Untuk Kek Coklat iPad Unboxing ni saya ingat la juga sikit-sikit sebab masih boleh dikatakan baru. Kek coklat ini menggunakan kek coklat moist yang resepinya saya muatkan dalam ebook masakan barat 3 dan diberikan secara percuma. Dalam ebook ini juga, saya cuba memberikan seberapa banyak tip yang saya tau. Setakat ini resepi kek coklat moist ini masih belum mengecewakan saya. Dah bertahun-tahun saya menjual kek coklat moist dan ia masih diminati sehingga kini.





Untuk topping, saya menggunakan buttercream sahaja. Buttercream sentiasa menjadi pilihan saya kerana ia sesuai dengan kek coklat serta sos coklat yang yang saya letakkan diantara setiap lapisan kek. iPad tu pula saya buat daripada kek yang dibungkus dangan fondant untuk mendapatkan ketebalan yang saya kehendaki. Saya tak menggunakan fondant semata-mata kerana ia akan memerlukan lebih banyak fondant. Dapat la jimat sikit. Lagipun mana ada orang nak makan fondant tebal-tebal setebal iPad. Gambar-gambar icon, juga dibuat dari fondant. Mana yang boleh dicetak, saya cetak menggunakan apa-apa peralatan yang saya ada. Kalau terlalu kecil, saya lukis sahaja dengan berus dan hujung lidi.




Kek custom made akan menjadikan kek anda lebih unik dari yang lain. Seperti kain batik lukis, walaupun masih gambar yang sama, warna yang sama, tetapi setiap helaian pasti berbeza. Ini kerana tangan yang melukis dan bukannya mesin. Lukis bulatan pun belum tentu sama bentuk dan saiznya. Begitu juga dengan kek. Jika menggunakan cetak, sudah tentu semuanya akan kelihatan sama. Lagipun kita tak akan larat nak beli semua bentuk. Contohnya, jika anda membeli acuan kek berbentuk love, takkan nak beli semua saiz yang ada. Bagaimana pula dengan bentuk-bentuk lain? Nak beli juga ke? Kedai kek pun tak sanggup beli semuanya.




Banyak benda baru yang saya belajar dari Kek Coklat iPad Unboxing ni. Diantaranya, saya tersilap mewarna fodant dengan menggunakan banyak air menyebabkan fondant kembang dan berkedut. Lain kali saya perlu menggunakan kaedah lain untuk mendapatkan tone. Icon iPad juga terlalu kecil dan sangat sukar dibuat untuk gambar-gambar kecil. Dari 16 icon, 4 terpaksa dikeluarkan kerana rupanya yang terlalu teruk. iPad juga terlalu kecil. Dah macam iPhone. Patut tukar jadi kek coklat iPhone. Banyak lagi yang tak dapat nak saya ceritakan. Malu la pulak!