Agak lama juga saya tak paparkan gambar-gambar kek yang saya buat. Sibuk menumpu kepada masakan ayam je. Bila selesai Resepi Kerutup Ayam Timur, barulah rasa lega sikit. Macam dah selesai satu modul rasanya. Boleh la saya paparkan gambar kek dua tiga entri mendatang.

Kek dalam entri ini adalah kek coklat moist yang biasa saya buat. Memang kek ini yang paling popular dan paling banyak permintaan. Resepinya ada saya muatkan dalam Ebook Percuma Panduan dan Resepi Masakan Barat Komersial 3. Bezanya kali ini saya menggunakan topping ala ala Kek Chocolate Indulgence. Rasa memang hebat kerana saya belah kek kepada beberapa lapisan dan lapiskan dengan homemade ganache saya yang jimat, mudah tetapi sedap tu.

Untuk membuat toppingnya, saya menggunakan 6 bahagian coklat masakan dan 5 bahagian non dairy whipping cream. Ini nisbah terbaik pada pendapat saya. Jika whipping cream sama banyak dengan coklat, kebarangkali topping terlalu cair sangat tinggi. Jika coklat terlalu banyak pula mungkin mengakibatkan topping terlalu keras apabila sejuk. Bila dah terlalu keras, coklat mudah meretak.


Panaskan whipping cream secara double boiler sehingga menjadi suam. Bila dah panas, alihkan dari double boiler tadi dan masukkan coklat. Kacau sahaja sehingga semua coklat cair. Biarkan topping coklat sejuk sedikit sebelum dituangkan keatas kek. Kalau inginkan coklat yang lebih tebal, biarkan ia sejuk banyak! Jangan lupa sapukan krim dahulu seluruh kek supaya permukaan kek menjadi licin dan mudah dituangkan topping kek. Lebihan topping boleh disejukkan didalam peti ais sebentar dan boleh dipaipkan di sekeliling kek.

Bahagian atas kek pula saya hiaskan dengan pop cake. Hanya kek coklat moist bersama homemade ganache yang dicetak menjadi bentuk love menggunakan acuan coklat. Kemudian disalutkan dengan coklat nipis yang rangup.