Dah lama saya teringin nak buat ke bantal tapi belum berpeluang. Setiap tempahan kek yang saya terima jarang menggunakan sepenuhnya fondant seperti ini. Mereka lebih gemar buttercream yang lebih sedap dimakan. Fondant cuma untuk menjadikan ia cantik dan menarik je. Walaupun fondant boleh diperisakan, namun tetap la sebahagian besarnya akan dibuang. Bagaimanapun, fondant lebih mudah untuk dihias. Seperti bermain tanah liat, kek boleh dipegang, dibentuk, dipicit seperti yang kita inginkan. Jadi jika anda ada kenangan bermain tanah liat sewaktu kanak-kanak, tentu anda boleh  buat kek fondant. Bagaimanapun, kanak-kanak sekarang sedikit kurang imajinasi. Play-doh menyediakan pencetak dan penerap menyebabkan mereka hanya pandai membentuk melalui peralatan. Tiada peralatan, cuma dapat buat cacing je.



Saya menggunakan kek coklat moist dari ebook Resepi Masakan Barat 3 untuk membuat kek bantal ini. Tak seperti kek fondant yang banyak dijual di pasaran, mereka lebih gemar menggunakan kek mentega yang lebih keras dan mudah dibentuk atau kek span yang lebih murah. Bagi mereka, rupa luar yang paling penting. Didalamnya kek apa-apapun, tak kisah.  Bagi saya pula, saya gembira jika kek itu habis dimakan. Tiada sikitpun dibazirkan. Jadi kalau boleh, biarlah kek tu sedap dan menjadi kegemaran ramai. Untuk itu, kek coklat moist ini saya lapiskan dengan homemade chocolate ganache supaya kek kekal lembab dan buttercream supaya apabila fondant diasingkan, kek masih lagi dipanggil kek.



Saya ni sebenarnya baru lagi mencuba-cuba membuat kek bantal untuk majlis perkahwinan seperti ini. Sangat banyak ilmu yang saya dapat dalam percubaan kali ini. Memang tak ternilai harganya. Bercerita tentang harga, saya belek-belek juga harga kek fondant di internet. Terperanjat juga bila tengok harga kek fondant baju melayu lelaki atau baju kurung perempuan bersaiz 8 inci. Saya anggarkan, harga yang saya letak hanya separuh daripada tu. Mungkin itu hanya recommended selling price je kot. Harga sebenar tak setinggi tu.



Kek Bantal Fondant Majlis Perkahwinan ini saya buat khas untuk majlis perkahwinan adik saya yang berlangsung pada cuti Tahun Baru Cina yang lepas. Kalau tengok dari gambar, Nampak sangat newbienya saya ni dalam menghias kek perkahwinan. Saya melapisi fondant aras tengah dahulu jadi aras tengahlah yang paling buruk sekali. Kemudian baru saya buat aras bawah. Ilmu yang saya dapat untuk membuat aras tengah saya gunakan untuk membuat aras bawah. Jauh benar perbezaannya. Aras bawah lebih elok dan simetri. Aras atas pulak adalah aras terakhir yang saya buat. Masa tu dah pancit dah jadi tak dapat perbaiki kelemahan. Pukul 3 pagi, memang tak larat. Namun, saya hargai ilmu yang saya dapat dan yakin untuk membuatnya lagi jika ada tempahan kek akan datang.