Kalau anda menjumpai bayi dalam kotak seperti gambar diatas, apa yang akan anda lakukan? Melaporkan kepada polis? Memelihara dan memberi penjagaan sempurna kepada bayi ini? Menyerahkan kepada keluarga lain? Membuangnya semula kedalam tong sampah yang lain?
Saban tahun kita dikejutkan dengan kes pembuangan bayi. Semakin lama semakin melampau. Kalau dulu banyak bayi yang masih hidup ditemui di tangga masjid, tong sampah, semak, kini banyak pula mayat bayi ditemui di tepi sungai, longkang malah ada yang cuma rangka atau sebahagian tubuh sahaja ditemui. Ada juga cuma kuburnya sahaja yang ditemui. Semakin lama penduduk negara kita semakin kejam. Betul ke?


Pada pendapat saya, banyaknya kes pembuangan bayi berlaku kerana ingin menutup aib yang telah berlaku sama ada terlanjur bersama teman lelaki atau dirogol. Saya berkata begitu kerana kes yang berlaku selalunya melibatkan gadis melayu di kawasan yang sangat mementingkan adab sopan dan nama baik keluarga. Lagipun, kebanyakkan gadis ini masih terlalu muda dan belum matang untuk memikirkan baik buruknya kelakuan mereka. Mereka juga kurang diawasi sehingga mengakibatkan orang lain berpeluang mengambil kesempatan keatas mereka.

Memang banyak cara dan kaedah untuk mengelakkan perkara ini berlaku dan telah dilaksanakan oleh kerajaan namun kes-kes baru terus dilaporkan malahan lebih kerap dan lebih serius dari dulu. Menurut saya, cara yang terbaik adalah pembentukan akhlak dari kecil. Ramai ibubapa dan guru yang terlalu mementingkan akademik sehingga melahirkan pelajar yang bijak pandai, cerdik dan genius malangnya mempunyai akhlak yang buruk. Apa gunanya menjadi cerdik pandai dalam bidang komputer kemudian akhirnya menggunakan kepandaiannya untuk memecah masuk akaun-akaun bank untuk mendapatkan wang dengan mudah. Apa gunanya menjadi bijak pandai dalam bidang fizik jika akhirnya menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mencipta senjata-senjata untuk berperang sesama manusia. Apa gunanya menjadi pakar dalam bidang politik jika akhirnya menggunakan kepakaran mereka untuk menjatuhkan negara dan bersekongkol dengan negara lain.


Oleh itu, jika mememilih sekolah untuk anak anda, sila ambil kira pendidikan agama. Pastikan sekolah itu ada matapelajaran agama, pendidikan moral dan sebagainya. Memang ada pelajar sekolah agama yang terlibat dalam kes buruk laku tapi kebarangkaliannya adalah sangat kurang. Cuba bezakan beberapa jenis pelajar yang saya senaraikan dibawah

  1. Pelajar kurang pintar yang berpendidikan agama
  2. Pelajar pintar yang berpendidikan agama
  3. Pelajar kurang pintar tanpa pendidikan agama
  4. Pelajar pintar tanpa pendidikan agama.

Kemudian jangkakan diantara 4 jenis pelajar diatas, yang mana akan menjadi penagih dadah. Yang mana pula akan menjadi pengedar dadah. Yang mana pula yang akan mencipta dadah jenis baru. Dan yang mana pula yang akan membanteras dadah habis-habisan.

Gambar-gambar diatas adalah gambar anak saya yang sedang bermain dalam kotak dapur gas saya yang baru dibeli. Tujuan utama entri ini adalah untuk mengumumkan, saya dah ada dapur gas yang baru. Lebih cantik, api lebih besar dan stabil serta saya boleh masak lebih cepat dan lebih banyak. Jangan jeles ye