Semenjak saya membangunkan blog Resepi Masakan Barat Komersial dan berkongsi berbagai resepi komersial secara percuma, saya merasakan ilmu saya berkembang dengan sangat pesat sekali. Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepada saya. Saya percaya, selagi ada insan yang menggunakan ilmu yang saya kongsikan, selagi itulah saya akan mendapat kebaikkan dariNya. Kalau saya menggunakan ilmu saya untuk memberi makan kepada orang lain, apabila saya dah tak mampu lagi, kebaikkan yang saya terima terhenti setakat itu sahaja. Tetapi jika saya mengajarkan kepada orang lain, lebih-lebih lagi kepada usahawan yang sentiasa berusaha mencari nafkah, selagi itulah ada bahagian untuk saya. Jika dia mewariskan ilmu dan empayar perniagaan kepada anak cucu, maka akan berterusanlah kebaikkan yang saya terima.


Jika anda masih ingat lagi, dalam artikel Bagaimana Membuka Perniagaan Restoran di Malaysia, saya menceritakan bagaimana sukarnya mencungkil ilmu dari orang yang sudah berpengalaman. Ibubapa yang kedekut ilmu dengan anaknya memang saya tak pernah dengar. Setiap ibubapa mesti inginkan yang terbaik untuk anaknya. Setakat mengajar selok-belok berniaga, memang tak ada masalah jika ibubapa itu sendiri memang berpengalaman dalam perniagaan. Biasanya yang saya dengar adalah diantara adik-beradik. Biasanya adik-beradik memang suka bersaing sesama sendiri. Ada yang rela membiarkan adik-beradik sendiri bertungkus-lumus mencari duit sedangkan dia sendiri sudah mempunyai perniagaan yang maju. Saudara saya sendiri pernah bercerita bagaimana adik-beradiknya yang sudah mempunyai rangkaian kedai runcit berderet-deret tetapi tak mahu mengajarkan cara membuka sebuah kedai runcit. Kalau nak kerja, dia boleh berikan kerja sebagai pengurus kedai runcit yang akan dibuka tak lama lagi. Kalau nak mengajar bagaimana membuka kedai runcit sendiri, menjadi tuan kepada perniagaan sendiri, memang tak mungkin. Kenapa ye? Kalau bukak kedai runcit pun, mungkin kat negeri lain, bukan kat sebelah kedai runcit dia pun! Jangan nak marah pula kalau tiba-tiba Allah mengutus seorang bomoh penipu yang menyapu bersih segala harta benda yang anda ada macam seorang insan yang sangat saya kenal. Sampai sekarang dia masih rela harta bendanya lesap begitu sahaja.


Saya baru terima email dalam gambar kat atas ni. Ringkas sahaja ceritanya jadi saya cuma agak je apa masalah yang dia hadapi. Apabila membuka restoran, sebenarnya paling baik jika setiap hidangan yang terdapat dalam menu adalah dari kita sendiri. Maksud saya, kita sebagai tauke restoran yang mencipta semua hidangan. Tukang masak yang diupah hanya bertanggungkawab menyediakan hidangan sama seperti yang kita arahkan. Inilah yang selalunya saya hadapi apabila makan di restoran tertentu. Hari ini makan terasa sedap. Jadi lain kali mesti datang lagi. Kemudian apabila datang beberapa minggu kemudian, pesan hidangan yang sama, rasa hidangan dah berubah. Daripada sedap menjadi tak sedap. Rupa-rupanya, tukang masak bertukar orang. Terpaksa mencari tukang masak yang baru. Bila tukang masak berubah, semua menu terpaksa diubah. Dulu ada tomyam chiangmai sekarang dah tak ada sebab tukang masak yang baru tu tak pandai nak buat. Confirm lah lain kali saya tak datang lagi.


Untuk menjadi tauke restoran, kita bukan sahaja perlu tahu segala yang berlaku di restoran kita. Kita juga perlu tahu melakukan segala-galanya. Jika anda tukang masak, anda mungkin hanya perlu tahu memasak sahaja tetapi jika anda tauke restoran, anda juga perlu tahu semuanya. Dari memasak sehinggalah mencuci pinggan. Dari mengambil pesanan hinggalah menerima bayaran. Dari mengeluarkan wang untuk membeli keperluan hinggalah mengira keuntungan. Pendek kata, segala pergerakan dalam restoran anda perlu rasai pengalamannya. Tiada tukang cuci pinggan yang boleh kelentong anda anda dengan mengatakan hari ni banyak pinggan kotor, tak sempat nak cuci. Tiada tukang masak yang boleh kelentong anda mengatakan alat tak cukup jadi tak boleh nak masak hidangan tertentu. Tiada tukang mop lantai boleh kelentong anda dengan mengatakan pencuci ni tak baik jadi lantai tak cukup bersih. Semuanya kerana anda dah merasai semuanya. Anda tahu berapa banyak masa yang diperlukan untuk mencuci pinggan sebanyak itu. Anda tahu alternatif lain yang boleh digunakan untuk memasak jika ada peralatan rosak. Anda tahu pencuci apa yg sesuai untuk lantai restoran anda. Berapa banyak diperlukan, berapa lama baru perlu membeli pencuci baru. Kalau chef sakit, anda boleh ganti. Kalau tukang mop cuti, anda boleh ganti. kalau sesiapa sahaja tak hadir, semuanya anda boleh gantikan tugas mereka kerana anda sudah berpengalaman. Lagipun anda boleh lakukan apa sahaja di restoran anda.


Dari situlah timbulnya resepi rahsia dimana hanya anda sahaja sebagai tuan punya restoran yang tahu mengenainya. Hanya restoran anda sahaja yang menjualnya. Untuk ini, andalah yang perlu melakukan penyelidikannya. Jadikan ia lebih ringkas seperti perencah contohnya. Dengan cara ini, siapapun tukang masak anda, rasanya tetap sama. Kalau tukang masak tiada pun tak mengapa. Anda sendiri boleh melakukannya. Kalau mengambil tukang masak yang baru pun lebih senang. Hanya perlu latihan sedikit sahaja. Kemudian, pastikan bahan-bahan yang anda gunakan kekal sama. Melalui penyelidikan anda, anda dah tetapkan setiap bahan yang perlu digunakan. Jangan pula hari ini guna sos tiram jenama lain, esok guna jenama lain. Memang la tak sama. Ebook Resepi Masakan Barat Komersial pula hanyalah rujukan sahaja dimana ia menjadi contoh bagaimana yang dikatakan masakan komersial. Adakah masakan anda bersifat komersial?, maka lakukanlah penyelidikan.

Kalau ikutkan hati, memang banyak lagi nak cerita. Setiap bab-bab berkait rapat sehinggakan saya tak tahu nak bezakan setiap bab hinggakan saya pun tak tahu nak letak tajuk apa untuk artikel ini. Gambar-gambar diatas adalah beberapa produk berasaskan tempe yang dihasilkan oleh pelajar kolej vokasional dan sekolah menengah teknik dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan baru-baru ini.