Tak habis lagi cerita pasal telur. Kalau dulu saya bercerita tentang sifat-sifat telur, cara mengenalpasti ciri-ciri telur yang segar, jenis-jenis dan cara membuat telur rebus, telur carak dan telur mata lembu, kini dua lagi hidangan telur untuk anda pelajari. Bila dah benar-benar memahami telur, tentu lebih memanipulasi telur dalam banyak hidangan hebat.

Scrambled Egg (Telur Hancur)
Scrambled egg adalah sarapan yang paling popular terutama di negara barat. Kini restoran makanan segera di Malaysia pun dah mula menjual sarapan begini walaupun pada mulanya kita menganggap ia hanya sekadar telur. Walaupun sesiapapun mampu membuatnya, anda lihat sendiri bagaimana larisnya scrambled egg ini.

Cara membuat Scrambled Egg
  1. Pecahkan 3 bj telur kacau sedikit agar kuning dan putihnya bercampur.
  2. Perasakan dengan garam dan lada sulah. Jika perlu masukkan 1 cmb susu segar.
  3. Panaskan 1 cmb minyak masak atau mentega dengan api kecil.
  4. Apabila minyak panas, masukkan telur yang dikacau tadi.
  5. Teruskan memasak dengan api kecil sambil dikacau perlahan supaya telur masak dengan rata.
  6. Bila telur telah kental semuanya tetapi masih lembab, matikan api dan hidang panas-panas.

Scrambled egg sebaiknya dimasak dan terus dimakan panas-panas. Ciri-ciri scrambled egg adalah lembut dan lembab, tekstur yang halus dan ringan serta memmpunyai rasa yang seimbang.


Omelette (Telur Dadar)
Pada dasarnya, omelette adalah sama dengan scrambled egg cuma omelette lebih sofistikated. Pada permulaannya, teknik memasaknya adalah sama dengan scrambled egg. Omelette mempunyai bentuk dan tidak seperti  scrambled egg yang tidak mempunyai bentuk.

Cara membuat Omelette
  1. Pecahkan 3 bj telur dan kacau sehingga kuning dan putihnya bercampur.
  2. Perasakan dengan sedikit garam dan gula. Jika perlu, masukkan 1 cmb susu.
  3. Panaskan 1cmb minyak masak. Jika anda menggunakan non-stick pan, tak perlu minyak lebih baik. Gunakan kuali leper atau saute pan dengan sais yang sesuai dengan jumlah telur untuk mendapatkan ketebalan omelette yang sesuai.
  4. Setelah kuali panas, tuangkan telur yang telah dikacau tadi. Masak dengan api kecil.
  5. Bila bahagian tepi omelette mulai kering, taburkan pelbagai bahan yang anda suka seperti bawang, sayur-sayuran seperti lada benggala, jenis-jenis makanan laut seperti udang, isi ketam dan lain-lain. Segala bahan yang sesuai ditabur diatas pizza, juga sesuai untuk omelette asalkan bahan itu telah dimasak terlebih dahulu seperti ayam dan daging cincang, sosej, salami, pepperoni, keju dan sebagainya.
  6. Bila bahagian atas telur mulai kering, lipat dua omelette tadi. Hidangkan panas-panas.

Omelette yang baik mempunyai permukaan bawah yang keperangan dan sekata. Bahagian dalamnya lembab dan teksturnya gebu.