Jemputan khas ini ditujukan kepada seluruh kaum keluarga saya dari susur galur arwah Hj Omar bin Mardan untuk menghadiri Majlis Hari Keluarga ke-2 pada 5, 6, 7 Novembar 2010 bertempat di Kayu Ara Pasong, Pontian. Kepada sesiapa sahaja daripada keturunan Atuk Omar, harap sudi hadir beramah-mesra dan berkenalan dengan sanak-saudara terdekat. Segala keterangan lanjut boleh menghubungi saya dan saya akan berikan nombor telefon urusetia yang perlu dihubungi.

Bapa saya adalah cucu Atuk Omar yang paling tua dan telahpun mempunyai 2 orang cicit. Saya memanggilnya dengan nama Oneng Wan dan Oneng Tu. Ini bermakna Atuk Omar telahpun mempunyai keturunan yang ke-enam. Oneng Wan lahir beberapa hari sebelum Hari Keluarga yang pertama dan kini telahpun berumur 3 tahun. Harap tahun ini keturunan Atuk Omar yang ke-6 telah bertambah menjadi belasan orang.

Gambar-gambar dalam entri ini diambil pada Majlis Hari Keluarga pertama pada 26 - 28 Disember 2008. Pelbagai aktiviti diadakan dan semuanya dirancang dengan teliti. Kelihatan banyak kerusi masih kosong kerana ramai yang hadir pada pagi 27 haribulan kerana mereka bekerja dan tinggal jauh dari tempat pertemuan. Namun pada malamnya lebih 200 orang yang hadir. Terima kasih semua.

Ini adalah anak-anak Atuk Omar yang hadir pada hari keluarga yang pertama. Kini hanya tinggal seorang sahaja yang masih hidup iaitu yang sebelah kanan sekali. Atuk Omar suatu ketika dahulu bekerja sebagai petani. Dia juga pandai dalam pertukangan rumah dan mendapat kepercayaan dari masyarakat dalam perubatan tradisional. Kini keturunan Atuk Omar ada yang mewarisi bakatnya dengan menjadi arkitek, engineer, usahawantani, doktor dan lain-lain lagi.

Aktiviti sukaneka untuk semua lapisan umur dan masih larat untuk bersukan. Sesiapa yang tak larat boleh la duduk sebagai penonton sambil bergelak ketawa. Tiada rasa penat, tiada rasa takut, tiada segan kerana mereka semua dari keturunan yang sama.

Flying fox pun ada. Sesiapa yang nak mencuba boleh datang sama-sama memeriahkan majlis  Ahli keluarga yang bekerja sebagai doktor akan membuka sebuah bilik pemeriksaan kesihatan dan akan membantu yang sakit. Yang bekerja sebagai penyanyi akan menghiburkan kita, yang bekerja sebagai menteri, usahawan dan berbagai lagi kemahiran akan saling membantu sesama ahli keluarga.

Penginapan yang selesa juga disediakan. Terima kasih kepada saudara-mara bermurah hati menaja aktiviti ini. Semoga dikurniakan rezeki yang berlipat kali ganda oleh Nya. Makan minum semuanya cukup dan enak-enak belaka. Pagi petang siang malam sentiasa ada sahaja hidangan disediakan. Kepada sesiapa yang ingin hadir, tiada bayaran dikenakan asalkan dari keluarga terdekat susur galur Atuk Omar. Walaubagaimanapun jika ada rezeki lebih, sudilah kiranya menyumbang untuk meringankan beban ahli keluarga yang lain. Kita dari keturunan yang sama, perlu saling bantu membantu sesama kita untuk kebaikan keturunan kita. Yang kuat bantu yang lemah, yang mampu bantu yang kurang mampu, yang senang bantu yang susah. Bukan orang lain, saudara-mara kita juga.