Saya membesar dengan jemput-jemput. Seringkali bila tiada makanan, jemput-jemputlah yang akan menjadi juadah kami. Pada masa tu, tepung gandum baru berharga 60 sen sekilogram. Bermacam jenis jemput-jemput yang kami buat tapi yang paling istimewa buat saya adalah jemput-jemput udang dan dan daun cekur. Istimewa kerana jarang-jarang sekali kami dapat makan udang. Kalau dapat membeli udang, sayang sekali kalau hanya dijadikan jemput-jemput. Jadi jemput-jemput udang dan daun cekur lebih jarang lagi kerana hanya dibuat bila ada udang lebih dari biasa. Kalau Pn. Suri Si Jejari Pantas tu memang selalu sangat makan udang sampai tekak rasa jemu. Saya harap anda dapat cuba resepi dibawah kerana kombinasi udang dan daun cekur sangat unik dan berbeza dari jemput-jemput yang pernah saya jumpa.



Bahan-bahan untuk Jemput-jemput Udang dan Daun Cekur
200g Tepung Gandum
100g Isi Udang
2 helai Daun Cekur
1 cmt Garam
260g Air
500g Minyak Masak



Cara membuat Jemput-jemput Udang dan Daun Cekur
  1. Campurkan tepung gandum, garam dan air untuk membentuk batter yang pekat.
  2. Isi udang dipotong kecil jika terlalu besar dan digaul bersama batter.
  3. Daun cekur dihiris seperti bunga rampai juga digaul bersama batter.
  4. Panaskan minyak yang banyak sehingga 200˚C. Jemput-jemputkan batter menggunakan tangan atau sudu kedalam minyak.
  5. Gorengkan jemput-jemput sehingga garing dan sedikit kekuningan.
  6. Angkat dan tuskan. Hidangkan panas-panas bersama sos cili homemade.



Tip Masakan Berguna
  1. Saya gemarkan adunan batter yang sedikit cair kerana kemungkinan jemput-jemput menjadi lembut lebih tinggi. Lagipun adunan yang cair menjadikan jemput-jemput lebih nipis. Yang paling saya suka adalah, titisan adunan yang jatuh kedalam minyak panas akan melekat pada jemput-jemput membentuk permukaan yang rangup.
  2. Biasanya saya mencampurkan tepung dan air sekaligus untuk mengelakkan adunan dikacau terlalu lama. Adunan yang dikacau lama menyebabkan gluten dalam tepung gandum bersimpul dan menjadikan jemput-jemput keras dan liat. Adunan juga tak boleh dikacau dengan laju dan dengan arah membulat kerana kebarangkalian gluten bersimpul lebih tinggi. Kacaulah dengan arah lurus dengan senduk atau sudu menekan tepung yang berketul.
  3. Pn Suri jejari pantas pernah memberi petua untuk jemput-jemput yang lebih lembut iaitu dengan menambahkan sedikit jus limau. Apa sahaja petua yang anda rasa membantu menghasilkan jemput-jemput yang sedap boleh anda gunakan. Sila kongsikan dalam ruang komen dibawah untuk panduan pembaca yang lain.
  4. Udang mengandungi air yang banyak. Jadi ketika menggoreng pasti ada percikan minyak. Harap anda dapat mengambil langkah yang perlu untuk mengelakkan kemalangan. Oleh kerana itu, udang tak boleh digoreng terlalu lama kerana apabila air udang keluar, udang akan menjadi kecut. Jika anda rasakan jemput-jemput mengambil masa terlalu lama untuk kekuningan, bolehlah besarkan sedikit apimya. 
  5. Kawalan api sangat penting untuk mendapatkan jemput-jemput yang lembut dan sedap. Jika api terlalu besar, jemput-jemput akan cepat kekuningan sebelum sempat ia mengembang. Hasilnya jemput-jemput akan padat dan mampat. Jika api terlalu kecil pula, udang akan kecut dan keras malah jemput-jemput akan keras dan kulitnya tidak garing.
  6. Saya pernah memaparkan resepi yang menggunakan isi cekur iaitu Resepi Ikan Keli Masak Pecel atau Pecel Lele. Untuk jemput-jemput Udang ni pula saya hanya menggunakan daunnya sahaja. Daun cekur mempunyai bau yang wangi dengan rasa yang unik. Bau dan rasanya sangat kuat jadi kalau anda tak biasa dengan masakan jawa, kemungkinan anda akan berasa sedikit janggal. Kurangkan daun cekur jika anda rasa bau dan rasanya terlalu mengganggu anda.
  7. Selain daun cekur, anda juga boleh menggunakan daun kaduk untuk jemput-jemput udang ni. Daun kaduk, bau dan rasanya tak sekuat daun cekur. Bagaimanapun rasa dan baunya memang berbeza. Daun cekur dan daun kaduk adalah ulam-ulaman yang belum pernah saya jumpa dijual dimana-mana. Kalau isi cekur memang selalu jumpa. Kebanyakkan peniaga yang menjual produk yang menggunakan ulam-ulaman seperti  botok-botok, menanam sendiri di kebun mereka. 
  8. Dalam gambar terakhir tu, saya harap anda dapat lihat gelembung-gelembung halus di permukaannya. Ini lah yang menunjukkan bahagian luarnya garing. Bentuknya yang tajam-tajam dan tak senonoh tu juga memberikan rasa rangup pada jemput-jemput.
  9. Jika sukakan yang gebu dan menggelembung, boleh cuba Resepi Cucur Udang Asas saya.