Ringkas sahaja hari ini. Resepi jiga sangat mudah iaitu inti kelapa manis yang sangat popular untuk kuih-muih Malaysia. Sesuai untuk pau, kuih koci, pulut inti, pau hakka dan sebagainya. Usahawan kuih-muih akan membuat inti ini dalam kuantiti banyak untuk digunakan dalam berbagai kuih. Dengan cara ini, mereka boleh menjual berbagai kuih tetapi dapat menjimatkan masa dalam menyediakannya.


Bahan-bahan untuk Inti Kelapa Manis
1 bj Kelapa Parut
50g Gula Pasir
100g Gula Melaka
2 cmb Air
1 helai Daun Pandan
Garam jika perlu


Cara Membuat Inti Kelapa Manis
  1. Pecahkan gula melaka kepada kepingan yang lebih kecil untuk memudahkan ia larut.
  2. Masukkan gula pasir, gula melaka, air dan daun pandan dalam kuali. Masak dengan api kecil sehingga semua gula larut.
  3. Tapiskan air gula jika perlu.
  4. Masukkan kelapa dan masak lagi sambil terus menggaul sehingga sedikit kering.
  5. Matikan api dan inti sedia digunakan untuk kuih-muih yang sesuai.

Tip Masakan Komersial
  1. Kelapa parut yang baik adalah kelapa yang belum cukup tua. Kalau pilih dikedai tu, cari kelapa yang mempunyai sabut dan tempurung berwarna terang. Ambil hanya isi kelapa yangberwarna putih sahaja. Kelapa yang cukup tua memang mempunyai santan yang banyak tetapi isinya keras. Selalunya jika kita makan inti kelapa manis, yang dibuat dari kelapa tua, kita boleh menghisap manis inti ini dan yang tinggal hanya hampas kelapa.
  2. Saiz kelapa berbeza-beza. Ada yang besar dan ada yang kecil. Ada yang berisi tebal ada yang nipis. Jadi resepi diatas belum tentu betul sukatannya. Jadi saya sarankan, anda menambahkan air gula sedikit demi sedikit kepada kelapa sehingga anda rasa inti kelapa anda dah cukup manis. Alang-alang dah keluarkan air kelapa dari kuali, lebih baik ditapis sekali. Dapat juga menghilangkan kotoran yang terdapat dalam gula melaka.
  3. Nisbah gula melaka dan gula pasir juga tidak tentu. Jika anda menggunakan gula melaka yang gelap, anda perlu mengurangkan penggunaannya dan menambahkan gula pasir. Begitulah sebaliknya. Gula pasir berfungsi untuk memberikan rasa manis, tetapi gula melaka untuk menjadikan ia lemak dan warna yang menarik. Bagi saya pula, saya rela inti saya gelap asalkan dapat rasa lemak gula melaka yang kuat. Jadi saya lebihkan gula melaka.
  4. Selain gula melaka, anda boleh gunakan gula-gula lain seperti gula merah, gula perang, gula kabung, gula apong dan sebagainya. Rasanya memang akan berbeza bergantung kepada dari mana gula itu dihasilkan. Semuanya sedap dan semuanya manis. Guna gula pasir sahaja pun boleh cuma hasilnya putih la. Mana la tau, tinggal di luar negeri susah nak cari gula…
  5. Daun ppandan untuk baunya sahaja. Kalau tak ada, tak payah la letak perisa pandan, pandan paste atau sebagainya. Kalau boleh kurangkan penggunaan bahan bukan semulajadi, lebih baik kita kurangkan. Lepas inti masak, bolehlah dikeluarkan daun pandan tu.
  6. Jangka masa memasak inti kelapa ni menentukan tahap kekeringan yang anda mahukan. Biasanya saya suka inti yang tidak terlalu kering tetapi tetap gebu. Bagaimanapun inti begini hanya gebu selepas dimasak sahaja. Jika disimpan dalam peti ais, ia tak akan gebu lagi kecuali dimasak semula.
  7. Inti ini boleh disimpan dalam peti ais sehingga 1 minggu dalam bekas kedap udara. Setelah disimpan, air gula mungkin akan termendak jadi anda perlu gaul semula untuk warna yang sekata. Jika perlu dimasak semula, anda boleh masak dengan menambahkan sedikit air untuk menjadikan ia lembab dan gebu semula.