Pernahkah anda berjumpa seseorang yang sangat kedekut ilmu? Mintak tolong ajarkan itu kena bayar, mintak ajarkan ini kena belanja makan. Alasannya, ilmu yang ada pada dia bukan senang nak dapat. Dia dulupun kena keluar modal beratus-ratus ringgit. Juga perlu habiskan masa bertahun-tahun untuk kajian sehinggalah dapat menghasilkan formula yang terbaik. Adakah anda akan berkira juga seperti ini?

Pada pendapat saya, selagi ilmu yang kita ada tidak digunakan untuk mencari rezeki, selagi itu tidak salah untuk kita berikan tanpa mengharapkan balasan. Contohnya jika anda menggunakan kepakaran menjahit baju untuk mencari rezeki, apa salahnya jika anda ajar sahabat anda cara membuat kek. Kalau anda ajar cara menjahit baju, nanti tentulah sahabat anda tak mahu menempah baju lagi kerana dah pandai menjahit sendiri. Kalau nak ajar juga tentulah kena bayar kerana itu sumbar pendapatan.

Sebenarnya saya juga menghadapi masalah seperti itu. Kawan-kawan datang tanya macam mana nak buat kek, Macam mana nak buat barbeku dan macam-macam resepi lagi yang diminta. Pada masa itu saya belum lagi komersialkan Panduan dan Resepi Masakan Barat. Sepatutnya tiada masalah untuk saya mengajarkan kepada mereka tapi banyak perkara lain yang perlu difikirkan. Antara perkara yang seringkali saya perhatikan ialah, jika sesuatu ilmu itu percuma, mereka tidak akan hargainya. Banyak kali bila saya memberikan resepi kepada mereka secara percuma, mereka tidak pernah mahu mencubanya. Cuma simpan sahaja dan ada juga yang mintak resepi yang sama berkali-kali tapi tidak pernah mencubanya. Lagi teruk, dah dibagi resepi, mintak dibuat demo. Lepas demo mereka kata "oooo macam tu aja caranya...." Balik rumah tak cuba juga...

Setelah itu barulah saya sedar, kalau ilmu itu percuma, mereka anggap seperti sampah. Lebih baik saya jadikan produk informasi seperti Panduan dan Resepi Masakan Barat. Cuma untuk orang yang serius dan berminat untuk belajar. Akan datang mungkin saya akan keluarkan ebook kek, kuih dan lain-lain lagi. Yang pastinya khusus untuk kegunaan komersial agar yang membelinya bukan sahaja dapat menghidangkan kepada keluarga malahan boleh diniagakan di gerai dan mendapat untung yang berlipat kali ganda.

Bercerita mengenai berniaga ni, teringat satu kisah dimana kerajaan Malaysia membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk memberi ilmu kepada golongan miskin tegar. Mereka di minta untuk belajar beberapa resepi kuih seperti apam balik, cakoi,murtabak  dan lain-lain. Mereka diajar berniaga seperti di pasar-pasar malam. Ilmu ini sudah pastinya percuma. Apa yang berlaku sangat saya kesalkan. Tenaga pengajar terpaksa merayu supaya mereka datang belajar. Padahal semua ini percuma dan untuk membantu mereka keluar dari dunia kemiskinan. Ada juga yang minta keluar balik rumah pada waktu tengah hari untuk masak, suami mahu pulang makan tengah hari. Selepas kursus, peralatan yang diberikan juga secara percuma, dijual untuk mendapatkan wang segera. Pada pendapat saya, selama-lamanya golongan ini akan begini. Mereka akan terus hidup dalam kemiskinan.

Bagaimanapun semuanya terpulang kepada anda. Sebelum mengajar sesuatu kepada seseorang, kenali dahulu orangnya. Saya tiada masalah untuk memberinya secara percuma  sekiranya mereka tahu menghargai ilmu yang diperolehi dengan betul.